NORANIZA Idris. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
NORANIZA Idris. FOTO Nurul Syazana Rose Razman.
Ardini Sophia Sina

[email protected].

Tidak dinafikan lagu berkonsepkan etnik kreatif dan irama tradisional semakin kurang mendapat tempat dalam kalangan pendengar pada masa kini. Namun, Noraniza Idris tidak pernah berputus asa cuba mengembalikan kegemilangan genre berkenaan.

Setiap kali bercakap mengenai masa depan genre itu, jelas terpancar kekecewaan di wajah Noraniza. Bagaimanapun, dia tidak akan sesekali mengalah meski terpaksa berdepan pelbagai kekangan.

Malahan, dia antara penghibur yang lantang bersuara agar semua pihak dapat memberikan ruang kepada penyanyi lagu irama tradisional bertapak dan mengembangkan genre itu.

Noraniza pernah mencetuskan fenomena pada 1990-an dengan kembali mengangkat lagu irama tradisional dan etnik kreatif. Tiga dekad dalam industri seni, kini dia melihat genre itu seolah-olah semakin dipinggirkan.

“Sudah lama saya berusaha memartabatkan kembali lagu irama tradisional. Pelbagai usaha yang saya lakukan tetapi belum nampak hasil. Stesen radio juga seolah-olah kurang berminat memutarkan lagu irama tradisional sedangkan masih ramai menggemari genre ini.

“Saya sudah tidak tahu apa lagi yang perlu buat supaya genre ini kembali sama seperti dahulu. Oleh itu, saya menghantar surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir agar dapat membantu menyelesaikan perkara ini.

“Manalah tahu Tun boleh meminta setiap stesen radio untuk memberikan sekurang-kurangnya kuota sejam bagi memainkan lagu irama tradisional. Lagu bukan hanya untuk hiburan tetapi juga mendidik masyarakat mengenai bahasa dan identiti negara,” katanya.

Kalau ikutkan, dia tidak perlu bersusah payah memperjuangkan hal berkenaan kerana namanya sudah kukuh dan bukan selama-lamanya berada dalam industri seni muzik.

Bagaimanapun, mengenangkan nasib penyanyi lagu tradsional pada masa akan datang, Noraniza terpaksa bertindak. Dia berharap pengalaman dan usaha yang dilakukan bakal membuahkan hasil.

“Saya minta bantuan banyak pihak tetapi sehingga ke hari ini belum ada maklum balas. Namun, saya percaya akan ada sinar buat irama tradisional.

“Ada juga saya tanyakan stesen radio kenapa kurang berminat putarkan lagu irama ini dan alasan diberikan tidak munasabah. Apabila diminta selitkan unsur rap dan menggunakan bahasa Melayu tanpa dialek, kami ikut. Namun, masih juga tidak putar.

“Selepas itu bagi alasan faktor usia. Apabila ia membabitkan umur, saya tidak boleh buat apa-apa kerana mana boleh manusia jadi muda kembali. Saya pun sudah 50 tahun,” kata penyanyi yang mendapat jolokan ratu irama tradisional itu.

Mungkin ada segelintir pihak mengatakan muzik sedemikian tidak diminati generasi muda hakikatnya Noraniza yang menganjurkan program tanggungjawab sosial korporat bagi memperkasakan seni dan budaya mendapati ramai peserta terdiri daripada kanak-kanak hingga usia 30 tahun.

Walaupun ia lebih menjurus kepada tarian, minat mereka tidak seharusnya dipandang sebelah mata. Sama seperti dalam bidang nyanyian yang mempunyai ramai pelapis daripada generasi muda.

Sedang dalam perancangan mengadakan konsert skala besar, Noraniza tidak kisah mengeluarkan belanja sendiri demi melihat irama tradisional kekal dalam industri muzik tanah air.

“Saya ingin mengembalikan zaman kegemilangan irama tradisional. Biarpun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri, saya tidak kisah. Saya ingin melihat irama tradisional terus kekal memeriahkan industri seni tempatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 September 2018 @ 10:55 AM