BERSAMA L’zzay.
BERSAMA L’zzay.
BERSAMA penyanyi baru Irhab (kiri) dan Yasir.
BERSAMA penyanyi baru Irhab (kiri) dan Yasir.
PERSEMBAHAN Noraniza sinonim dengan bilangan penari yang ramai dan berwarna-warni.
PERSEMBAHAN Noraniza sinonim dengan bilangan penari yang ramai dan berwarna-warni.
MENITISKAN air mata mengenang suka duka pembabitannya dalam bidang muzik.
MENITISKAN air mata mengenang suka duka pembabitannya dalam bidang muzik.
Nor Akmar Samudin


Air mata penyanyi Noraniza Idris menitis di pentas Auditorium Perdana, Angkasapuri Rabu lalu ketika mengenangkan pembabitannya selama 30 tahun dalam industri seni tanah air.

Bukan sedikit dugaan yang dilaluinya apatah lagi lagu irama Malaysia yang dibawanya kurang mendapat sambutan terutama dalam kalangan generasi muda.

Pelbagai usaha dilakukan termasuk mengadakan bengkel seni dan budaya di seluruh negara.

Keluh wanita berusia 48 tahun itu, penyanyi baru tidak begitu menggemari irama itu. Namun, mereka tidak menyedari irama itulah yang mendekatkan kita kepada akar umbi budaya dan bangsa kita.

Noraniza berkongsi rasanya itu dengan penonton yang datang menyaksikan rakaman konsert Noraniza Idris Masyhur 30 Tahun.

Hatinya hiba kerana sukar untuknya terus mempertahankan irama tradisional itu dan apabila RTM memberi peluang kepadanya mengadakan konsert itu, dia cukup berbesar hati.

“Saya mahu memberi laluan kepada orang baru untuk terus memartabatkan irama tradisional tetapi nampaknya industri muzik seakan-akan kurang berminat memberi laluan kepada pengkarya baru.

“Jadi, apabila artis di bawah naungan syarikat penerbitan saya, Ihab Ismail dan L’zzay mahu merakamkan single, saya perlu membuat kemunculan istimewa supaya dapat mengetengahkan mereka kepada masyarakat.

“Industri muzik tidak begitu memberi ruang kepada artis baru untuk perjuangkan irama tradisional. Oleh itu saya akan cuba pastikan ada orang yang akan teruskan usaha ini apabila saya tiada lagi dalam dunia hiburan tanah air,” katanya.

Menurut Noraniza, pada usia sekarang, tidak sesuai lagi untuk dia beraksi lincah di pentas.

Noraniza berkata, suaminya, Jeffri Hudi, 57, mahu dia menumpukan perhatian kepada ibadat dengan meninggalkan bidang nyanyian.

“Apabila pengurus saya, Joe Saiful, memberi idea mengadakan konsert ini, saya terus merujuk kepada suami dan sekiranya dia tidak mengizinkan, saya tidak akan melakukannya.

Jeffri yang juga bilal di Singapura adalah suami daripada perkahwinan ketiga Noraniza.

Mereka bernikah di Johor Bahru pada 29 September 2011.

Menurut Noraniza, biarpun selepas ini dia tidak aktif lagi sebagai penyanyi namun tetap akan membabitkan diri dalam kerja belakang tabir dan melatih bakat baru yang berpotensi untuk terus memartabatkan seni muzik tradisional serta etnik kreatif.

“Saya tidak akan bersara terus kerana ada banyak lagi yang perlu dilakukan dalam industri muzik tempatan,” katanya.

Bagi memastikan konsert itu berlangsung dengan meriah dan memenuhi hasrat hatinya sendiri untuk berkongsi cerita serta kenangannya dengan peminat, Noraniza melakukan persiapan selama sebulan.

Antara lagu yang disampaikannya Warisan Kita, Puncak Gapura, Mohon Terasa, Kasihnya Ibu, Enjut, Anak Tani, Joget Jauh Pandangan, Mengemis Rindu, Ayuh Juragan, Tandang Bermadah, Ngajat Jampi, Zapin Beradat, Akar Kita Zapin, Hati Kama, Dikir Puteri, Hatinya Tak Tahan, Dondang Dendang dan Awallah Dondang.

Dia juga mengambil peluang itu memperkenalkan beberapa lagu barunya yang dihasilkan dengan Ihab Ismail dan L’zzay.

Menjadi ‘trademark’ Noraniza tidak lengkap persembahannya tanpa diiringi ramai penari yang berpakaian berwarna-warni dan untuk itu dia mengundang 126 penari budaya.

“Lapan daripada mereka pernah berkhidmat dengan saya sepanjang pembabitan dalam Anugerah Juara Lagu bermula dari 1997 hingga 2005,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 10:49 AM