Oleh Amirul Haswendy Ashari


Dia pernah menang Lagu Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada 2013 dan 2014 tetapi kejayaan itu belum cukup kuat untuk mendapat peluang publisiti dan dikenali ramai.

Semua itu tidak pernah mematahkan semangat Ihab Ismail, 32, untuk meneruskan perjuangannya memartabatkan muzik irama tradisional. Kehadiran album sulung, Cahaya Zafana bukti kecintaannya pada lagu genre tradisional.

Katanya, minat dan cintanya pada irama tradisional bermula sejak di bangku sekolah lagi dan turut berterima kasih kepada media yang banyak mengangkat irama tradisional ketika irama itu mendapat sambutan satu ketika dulu.

“Ketika itu kita lihat muncul ramai artis tempatan melahirkan album genre itu, namun sekarang keadaan suram.

“Dari situ, saya melihat ia sebagai satu peluang dan ruang untuk saya teruskan perjuangan. Saya lakukan ini kerana rasa tanggungjawab kepada bangsa saya,” katanya penuh makna.

Biarpun muncul dengan album sendiri, Ihab yang sebelum ini sering dilihat bersama Ratu Etnik Kreatif, Noraniza Idris akui ingin berdiri di atas kaki sendiri pada masa depan.

Bagi Ihab, tiada istilah berada di bawah bayangan Noraniza sebaliknya penyanyi yang popular dengan lagu Dikir Puteri dan Ngajat Tampi itu ibarat penasihat terbaik di dalam industri muzik.

Katanya, Noraniza bertanggungjawab memberi peluang dan ruang untuknya dikenali kalangan peminat lagu irama etnik kreatif. Tanpa penyanyi itu, mungkin Ihab tidak akan ke mana.

“Hampir setiap kali persembahan, dia akan bawa saya untuk beraksi di pentas dan saya berterima kasih atas peluang itu.

“Malah melalui projek Siri Jelajah Merdeka AEON Akar Kita Zapin 2015 yang berakhir Ogos lalu, kami banyak mendapat maklum balas positif daripada penaja dan peminat baru,” katanya.

Ingin meneruskan program itu tahun depan, Ihab akui niat asal menghasilkan album penuh etnik kreatif untuk menarik minat golongan muda, mula membuahkan hasil.

Pada siri jelajah itu yang masuk tahun ketiga, banyak permintaan peminat yang mahukan album fizikal untuk dijadikan rujukan dan kenangan.

“Tujuan saya memang nak tarik golongan muda terutama pelajar untuk kembali ke akar umbi. Biarpun kebanyakan lagu saya difusionkan, teras tradisinya masih sama.

“Contohnya lagu Titian Hidup dalam album ini kedengarannya seperi rentak pop tapi ada elemen Masri di dalamnya. Begitu juga lagu Laksamana Raja Di Laut dan Ulek Mayang yang diolah semula supaya sesuai dengan peminat muda,” katanya.

Dia akui mulut orang tidak boleh ditutup andai ada yang pertikai pengubahsuaian dilakukannya dalam lagu itu. Namun selepas dikaji dan mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar lagu tradisional seperti Pak Ngah Suhaimi (Datuk Suhaimi Mohd Zain), dia teruskan.

Siapa sangka penyanyi itu bergelar doktor perubatan apabila kini mengikuti pengajian Master dalam ­bidang sama di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Andai artis lain berani meninggalkan kerjaya tetap kerana mahu meneruskan minat mendalam dalam bidang seni, Ihab sebaliknya.

Pernah menuntut di Kings College, United Kingdom, Ihab berkata, bidang perubatan juga satu amanah yang harus dipikul, rasa tanggungjawab sama seperti pembabitannya dalam bidang nyanyian irama etnik kreatif.

“Saya dihantar kerajaan Malaysia menggunakan dana kerajaan (biasiswa) yang juga duit rakyat untuk menuntut ilmu dalam bidang perubatan di luar negara, tak mungkin saya hendak abaikan amanah itu.

“Bidang perubatan penting sebab ia membabitkan nyawa. Kalau tiada nyawa untuk diselamatkan, siapa yang akan teruskan budaya kita?” katanya.

Biarpun terikat dengan jadual padat sebagai doktor perubatan, dia tetap mencari ruang melebarkan bidang seni budaya. Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.

Bersandarkan hal itu, Ihab percaya dengan niat yang betul, segala urusan dalam kedua-dua bidang akan berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 September 2015 @ 5:02 AM