MUN King tinggal di celahan bukit di hadapan Sungai Keroh berhampiran Jalan Simpang Pulai-Lahat, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
MUN King tinggal di celahan bukit di hadapan Sungai Keroh berhampiran Jalan Simpang Pulai-Lahat, Ipoh. FOTO Muhaizan Yahya
Balqis Jazimah Zahari


SUKAR untuk dipercayai apabila masih ada individu memilih untuk menghuni di kaki bukit bersebelahan gua batu kapur berbanding di dalam rumah dalam keadaan negara menuju arus pemodenan.

Itu keputusan diambil lelaki warga emas dikenali sebagai Ong Mun King, 68, yang tinggal sebatang kara di bandar raya ini.

Tinjauan Harian Metro di kawasan gua batu kapur berhampiran Simpang Pulai, Ipoh menemui tempat tinggal warga emas itu yang terletak di belakang sebuah kuil dan hanya boleh dilalui dengan berjalan kaki bersebelahan anak sungai di situ.

Tempat tinggal itu bagaimanapun dilengkapi dengan tempat tidur berkelambu dan dilitupi kanvas serta ruang dapur serta beberapa peralatan lain yang tergantung di dinding gua.

Ketika ditemui, Mun King berkata, dia mengambil keputusan untuk tinggal di situ hampir tiga tahun lalu selepas kehabisan wang simpanan dan tiada pekerjaan untuk menampung kehidupan hariannya.

Dia mendakwa pernah bekerja di sebuah kilang tetapi kerap sakit dan tidak cukup tidur berikutan pekerjaan mengikut syif selama 12 jam sehari dan pernah tinggal di dalam sebuah gua di Kepayang, Ipoh sebelum berpindah ke situ.

Mun King juga mendakwa pernah tinggal d rumah sewa, namun tidak mampu membayar sewa sebanyak RM150 sebulan.

“Saya tidak rasa susah dan sangat suka tinggal di sini. Saya rasa lebih senang hati dan bahagia tinggal di sini sebab tiada siapa yang ganggu,” katanya.

MUN King menunjukkan tempat tidurnya yang berkelambu bagi mengelak nyamuk dan serangga lain. FOTO Muhaizan Yahya
MUN King menunjukkan tempat tidurnya yang berkelambu bagi mengelak nyamuk dan serangga lain. FOTO Muhaizan Yahya

Mung King berkata, dia akan bangun jam 6.30 pagi setiap hari untuk membersihkan diri di kuil berdekatan sebelum pergi bersarapan di kedai makan berhampiran.

“Adik saudara ada membelikan (membayarkan harga) nasi (di kedai makan), jadi jam 11 pagi saya akan pergi ke kedai makan itu sekali lagi untuk mengambil nasi.

“Kadang-kadang saya akan pergi ke pasar untuk membeli barangan dapur yang senang dimasak seperti bihun dan mi,” katanya yang menghabiskan masa dengan berehat, membaca surat khabar dan membaca buku.

Katanya, dia akan tidur jam 8 malam kerana keadaan sudah gelap, sunyi dan banyak nyamuk.

Mun King mendakwa sudah puluhan tahun tidak bertemu dengan adik-beradiknya dan hanya dijenguk oleh rakan baiknya sejak kecil.

Ditanya adakah dia memerlukan bantuan kewangan mahupun tempat tinggal yang lebih selesa dan selamat, Mun King menolak untuk dibantu.

“Saya tidak mahu apa-apa daripada sesiapa, tetapi kalau ada yang mahu memberi, saya hanya mahu serbuk kopi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 September 2018 @ 6:58 PM