GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Putrajaya: Seorang ahli perniagaan dari Korea Utara berdepan diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk menghadapi dakwaan pengubahan wang haram selepas gagal dalam rayuan akhirnya supaya dibebaskan.

Panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan Mun Chol Myong untuk mengetepikan perintah mahkamah rendah supaya dia ditahan sementara menunggu pendengaran prosiding ekstradisinya itu.

Tengku Maimun berkata, peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Mun, membangkitkan tiga isu yang dipertimbangkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh dan menambah bahawa mahkamah mendapati tiada alasan untuk tidak bersetuju dengan keputusannya (Ahmad Shahrir).

Dua lagi hakim yang bersidang hari ini ialah Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Rhodzariah Bujang.

Mun, 55, yang tinggal di Kuala Lumpur lebih 10 tahun bersama keluarganya ditahan pada 2019 susulan permohonan daripada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Pada 13 Mei 2019, pendakwaan memfailkan permohonan di Mahkamah Majistret untuk waran tangkap sementara terhadap Mun yang kemudiannya dibenarkan pada hari yang sama.

Pada 10 Jun 2019, pihak berkuasa Amerika Syarikat mengemukakan permohonan rasmi melalui saluran diplomatik kepada kerajaan Malaysia untuk Mun diekstradisi.

Dalam permohonan ekstradisi itu, dinyatakan bahawa Mun adalah penjenayah dalam buruan yang dikehendaki menghadiri perbicaraan di Amerika Syarikat berikutan waran tangkap yang dikeluarkan kepadanya atas tuduhan konspirasi pengubahan wang haram.

Mahkamah Sesyen pada 13 Disember 2019, mengeluarkan perintah Mun dihantar ke Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perintah penyerahan daripada Menteri Dalam Negeri kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

Mun kemudiannya memfailkan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Disember, 2019 memohon dibebaskan daripada tahanan yang ditolak oleh mahkamah pada 8 Oktober tahun lalu.

Mun memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan itu.

Sebelum itu, Gooi berhujah bahawa kesalahan yang didakwa dilakukan Mun mengikut permohonan ekstradisi tersebut, adalah kesalahan politik kerana dibuat berdasarkan sekatan terhadap Korea Utara yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Datuk Mohd Dusuki Mokhtar pula berhujah bahawa Mun dikehendaki oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat untuk menghadapi tuduhan jenayah pengubahan wang haram dan menambah bahawa kesalahan pengubahan wang haram bukanlah kesalahan yang bersifat politik.

Mohd Dusuki dan TPR Faizul Aswad Masri mewakili Menteri Dalam Negeri, Pengarah Penjara Sungai Buloh, Kementerian Dalam Negeri dan pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan habeas corpus Mun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 7:38 PM