Leong Mun Yee
Leong Mun Yee
Oleh Aida Adilah Mat

BUKIT Jalil Sports City akan terus menjadi ‘bandar kosong’ untuk satu tempoh yang tidak diketahui sehinggalah wabak Covid-19 berjaya ditangani.

Jika dulunya ia meriah dengan kehadiran atlet dan orang ramai yang datang untuk beriadah, kini ia ibarat taman tidak berpenghuni menyebabkan penerjun negara, Leong Mun Yee mengambil keputusan untuk menutup sementara kafenya.

Mun Yee berkata, kafenya yang terletak bersebelahan Axiata Arena itu terpaksa ditutup sementara berikutan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) sehingga 28 April ini.

“Tak ada orang bekerja, atlet dan pelajar sekolah kerana semua sudah kembali ke rumah masing-masing jadi kafe saya terpaksa ditutup sementara waktu.

“Apa yang penting ketika ini adalah kesihatan semua terjaga dan wabak ini dapat ditangani dengan segera,” katanya.

Mun Yee, 35, bakal membuat penampilan kelimanya di temasya Olimpik Tokyo tahun depan, kini menjalani kuarantin di rumahnya di Kajang.

Biarpun banyak perkara terpaksa ditangguhkan kerana keadaan semasa yang tidak mengizinkan, Mun Yee tidak mahu penangguhan temasya Olimpik mengganggu fokusnya.

“Banyak perkara terpaksa ditunda sama. Antaranya pengajian yang terpaksa ditangguhkan hingga September tahun ini untuk persediaan Olimpik.

“Ini kerana keadaan sekarang ini juga sangat teruk. Ramai yang terkesan dan atlet juga tidak boleh berlatih seperti biasa,” katanya yang mengambil kursus Sarjana Komunikasi Korporat di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mun Yee memperoleh tiket ke Olimpik Tokyo yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos, 2021 selepas meraih perak dalam acara 10m platform seirama bergandingan bersama Pandelela Rinong di Kejohanan Renang Dunia di Gwangju, Korea.

Mun Yee bakal melakarkan sejarah tersendiri di Olimpik apabila menjadi atlet paling banyak menyertai Olimpik selepas Datuk Lee Cong Wei dan Kevin Lim Leong Keat masing-masing dalam acara badminton dan kapal layar (empat kali).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 April 2020 @ 6:00 AM