Shamsul Munir Safini

AKIBAT mengesyaki pasangannya curang, seorang lelaki dipercayai mencekik leher isteri dan menetaknya sehingga mati di Taman Merbau Indah, Butterworth, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 5 pagi itu, berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suaminya, masing-masing berusia 25 tahun.

Beliau berkata, lelaki itu mengesyaki isterinya menjalinkan hubungan berdasarkan perbualan di aplikasi Whatsapp.

“Sejurus selepas itu, mangsa ditolak sebelum dibunuh suspek dengan cara menetak mangsa dengan pisau pemotong daging dan mencekiknya sehingga mati.

“Suspek kemudian keluar dari rumah dengan membawa anak perempuannya berusia empat tahun. Selepas itu, dia pulang ke rumah jam 10 malam semalam," katanya.

Menurutnya, suspek kemudian mendapati isterinya sudah tidak bernyawa sebelum membuat laporan polis.

Beliau berkata, polis yang tiba di lokasi menemui mayat mangsa dalam keadaan terlentang.

“Terdapat lima kesan luka di badan mangsa termasuk di bahu kanan, bahu kiri, leher dan tangan kanan,” katanya.

Katanya, polis juga menemui tompokan darah pada pisau pemotong daging yang diletakkan di sinki rumah dipercayai digunakan untuk menetak mangsa.

"Susulan itu, pada jam 2 pagi tadi, polis memberkas suspek," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 1:08 PM