MANSOR menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali, Selasa lalu.
MANSOR menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali, Selasa lalu.
Meor Riduwan Meor Ahmad


“SEPATUTNYA lebih 800 kali saya derma darah dan cipta rekod dunia. Tapi 16 tahun saya tangguh sebab jalani pembedahan dan mengambil ubat antibiotik,” kata pengarah dan pengkritik filem, Mansor Puteh, 64, yang menerima sijil pengiktirafan atas sumbangannya menderma darah sebanyak 500 kali, Selasa lalu.

Beliau berkata, difahamkan rekod penderma darah paling banyak di Malaysia adalah 600 kali, tapi nama individu terbabit tidak pernah didedahkan Pusat Darah Negara (PDN).

Menurutnya, beliau mula aktif menderma darah ketika belajar di tingkatan enam dekat Malaysian Tutorial College, Petaling Jaya.

“Waktu itu saya sering menumpang motosikal rakan sekelas, Alex ke Sungei Wang untuk naik bas pulang ke rumah di Kampung Tunku.

“Satu hari dia yang pernah menderma darah ajak saya derma darah di Hospital Universiti (Pusat Perubatan Universiti Malaya) dan selepas itu saya terus aktif melakukannya,” katanya dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Mansor berkata, sebelum melanjutkan pengajian sarjana dalam pengarahan filem ke Universiti Colombia, Amerika Syarikat (AS) pada September 1978, beliau menderma darah enam kali di Hospital Assunta, Petaling Jaya dan di Hospital Melaka.

“Di AS, saya tidak berpeluang untuk menderma darah kerana kesibukan sebelum menjalani tiga pembedahan di kaki akibat tumor.

“Apabila balik ke Malaysia pada Februari 1982, saya tidak boleh menderma darah kerana mengambil ubat antibiotik sebelum aktif semula pada 1994 hingga kini.

“Selain menderma darah merah, saya kini beralih derma plasma atau platelet,” katanya.

Dalam pada itu, beliau sedikit kecewa dengan tahap kesedaran masyarakat di negara ini yang masih rendah untuk menderma darah.

“Jika dikira, saya rasa sepanjang hidup, 90 hari dihabiskan untuk pergi dan balik menderma darah jika. Ini kerana sejam setengah diperlukan untuk menderma plasma atau platelet darah berbanding darah biasa hanya 10 minit.

“Sekali kita menderma darah, mampu menyelamatkan tiga nyawa. Adakah penerima darah berterima kasih kepada penderma?,” katanya yang kini menderma darah dua minggu sekali.

Mansor turut berkongsi gambar terbaru beliau menderma darah di PDN pada 2 Julai lalu di Facebooknya dengan menulis status ‘Derma darah buat kali ke-500 semalam’ yang mendapat pujian netizen.

Misalnya, Samsudin Ahmad mengucapkan tahniah kepada beliau dengan menyatakan: “Banyak nyawa manusia telah tuan selamatkan. Alhamdulillah. Moga tuan terus kekal sihat walafiat. Insya-Allah,” katanya.

Sufian Kamaruddin pula berharap usaha Mansor dicontohi masyarakat.

“Semoga amalan tuan yang istiqamah ini beroleh rahmat Illahi dunia dan di akhir Insya-Allah. Dan supaya ini dapatlah jadi dorongan buat yang lain-lain untuk ikuti contoh amat mulia ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, beliau tidak berniat menunjukkan kehebatan, sebaliknya untuk memotivasikan masyarakat untuk melakukan perkara sama.

“Kita perlu ingat benda ini bagus dan tidak rugi kita derma darah. Kita akan dapat darah baru dan kesihatan yang baik,” katanya.

Beliau kini sudah menyiapkan skrip filem berjudul Malaysian Snow yang bakal mencipta rekod dunia kerana menjalani penggambaran di 57 negara dan berharap mendapat sokongan dana untuk menerbitkannya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Julai 2018 @ 9:15 PM