Kaswadi Azhar (tiga dari kiri) bersama Mohd Juwaidi Fikri (tiga dari kanan) bersama empat rakan lain yang mengalunkan taranum ketika membaca surah Al-Mulk pada pembukaan program Akademi Qurra’, minggu lalu.
Kaswadi Azhar (tiga dari kiri) bersama Mohd Juwaidi Fikri (tiga dari kanan) bersama empat rakan lain yang mengalunkan taranum ketika membaca surah Al-Mulk pada pembukaan program Akademi Qurra’, minggu lalu.
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Bukan saja mempunyai kemahiran dan tangkas memadam kebakaran dan menyelamat, enam anggota bomba ini turut mahir bertaranum ketika membaca al-Quran.

Mereka adalah Kaswadi Azhar Ahamad yang bertugas di Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Nor Azizi Othman (JBPM Perak), Mohd Juwaidi Fikri Shabuddin (JBPM Kedah), Muhamad Amirul Baharuddin dan Suziman Lukman (JBPM Johor) serta Zulhilmi Zakaria (JBPM Putrajaya).

Video mereka mengalunkan taranum membaca surah Al-Mulk pada pembukaan program Akademi Qurra', minggu lalu meraih tontonan ramai dan pujian netizen di TikTok selepas Mohd Juwaidi Fikri, 33, berkongsi video itu di akaun sosialnya

Mohd Juwaidi berkata, perkongsiannya bukan untuk meraih perhatian apatah lagi bangga diri sebaliknya ia untuk dijadikan sebagai kenangan namun mengakui gembira jika video itu membawa mesej positif kerana orang ramai.

"Saya tak sangka juga video itu mendapat perhatian ramai tetapi bersyukur ia menyebarkan perkara baik sekali gus juga membawa imej yang baik kepada jabatan kerana pasukan kami turut mempunyai kemahiran itu (bertaranum).

"Saya juga berharap lebih ramai anak muda 'menghidupkan' taranum kerana ia mempunyai tarikan dan sedap didengari selain turut memberi lebih penghayatan kepada bacaan kita," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang itu berkata, dia yang juga bekas pelajar Maktab Mahmud, Kedah mempelajari taranum di sekolah sejak berusia 15 tahun dan turut berguru dengan bapa, Shabudin Othman.

Menurutnya, biarpun mempelajari taranum namun dia belum mempunyai keberanian untuk menyertai pertandingan tilawah al-Quran ketika itu sebelum mengambil peluang mencabar diri menyertai pertandingan itu anjuran JBPM antara negeri.

"Saya menyertai pertandingan sejak 2018 dan pencapaian sepanjang lima penyertaan ialah pernah dinobatkan sebagai juara dan mendapat tempat kedua serta ketiga. Tahun lalu saya naib juara dan tahun ini akan sertai pertandingan juga.

"Saya dan arwah ayah memang minat taranum tetapi dahulu saya kurang berani menyertai pertandingan kerana berasa belum mahir sepenuhnya membuatkan saya kurang keyakinan untuk menyertainya dan sekarang masih dalam proses belajar lagi untuk memantapkan kemahiran," katanya.

Katanya, taranum mempunyai tujuh jenis iaiti Baiyati, Soba, Hijaz, Nahwand, Rast, Sikah dan Jiharkah yang mempunyai cara pembawaan dan 'lenggok' alunan berbeza dengan alunan paling mudah ialah jenis Baiyati dan Nahwand.

"Taranum perlu ada suara untuk nada tinggi dan lontaran suara juga perlu jelas. Bagi saya bacaan ayat al-Quran dengan taranum ini lebih menusuk kalbu dan untuk ayat yang sedih ia akan membuatkan kita lebih menghayatinya.

"Taranum memerlukan latihan berterusan dan ia mengambil masa. Saya berlatih mengikut waktu terluang dan selalumya pada waktu malam," katanya sambil memberitahu video tular itu mereka mengalunkan taranum Baiyati dan Nahwand.

Sementara itu, Kaswadi Azhar, 38, berkata, dia mempelajari taranum sejak di sekolah menengah sehingga kini daripada beberapa qari dan baginya bertaranum menjadikannya lebih mahir dan menghayati dalam pembacaan al-Quran.

Katanya yang bertugas di BBP Bagan Jermal, Pulau Pinang, dia menyertai pertandingan tilawah al-Quran di peringkat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan JBPM sejak 2011 dengan pencapaian terbaik ialah johan pada 2021 dan 2023 serta tempat ketiga pada 2022.

"Saya minat taranum dan mendapat dorongan ibu bapa (Che Siti Che Lah dan Ahmad Ismail), guru dan pegawai atasan untuk menyertai pertandingan. Isteri (Siti Rodiah Mustafa) akan menjadi pendengar setia bacaan dan memberi pendapat sama ada bacaan itu sampai (zauk) kepada pendengar.

"Isteri juga memberi sokongan penuh kepada saya untuk aktif dalam bidang taranum dan aktiviti itu juga akan menjadi acara wajib serta kegemaran saya setiap Ramadan," katanya menggemari taranum jenis Jiharkah dan mahir Nahawand.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, secara peribadi dia berbesar hati dapat mengalunkan surah Al-Mulk serta bertaranum pada program berkenaan bersama rakan di hadapan juri dan peserta serta ia akan menjadi kenangan.

Katanya, video tular itu juga sekali gus mengangkat imej JBPM dan menunjukkan anggota bomba juga berbakat dan boleh bertaranum di samping sibuk dengan tugasan hakiki memadam kebakaran dan menyelamat.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 1:18 PM