Azraei memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran pada hari ke-4 Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Pusat Islam Kuala Lumpur.
Azraei memperdengarkan bacaan ayat suci al-Quran pada hari ke-4 Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan di Pusat Islam Kuala Lumpur.
Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Kuala Lumpur: Naib Johan Qari tahun 2008, Azraei Abdul Hak, antara tujuh lagi peserta yang memperdengarkan bacaan pada malam keempat Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan ke-58 di Dewan Muktamar, Pusat Islam di sini, malam tadi.

Qari dari Melaka berusia 35 tahun itu memperdengarkan bacaan Surah Taubah Ayat 23.

Menurut Azraei, ini kali ketujuh beliau menyertai pertandingan tilawah peringkat kebangsaan.

“Format pertandingan kali ini berbeza kerana sebelum ini peserta bebas memilih jenis taranum masing-masing.

“Namun, edisi kali ini peserta perlu menggunakan dua jenis taranum berdasarkan undian yang dijalankan.

“Setiap peserta mempunyai kelebihan masing-masing, namun saya menjangkakan cabaran dari beberapa negeri terutama wakil Kelantan dan Terengganu,” katanya ketika ditemui.

Enam peserta lain adalah Qari dari Kelantan Wan Ainuddin Hilmi Abdullah yang Mohamad Husaini Mahmur (Negeri Sembilan) dan Mohd Syaheed Sabri (Pahang).

Qariah pula terdiri daripada peserta dari Sabah iaitu Sanayah Janaid, Nur Husnaa Sharif (Kedah) dan Suhailah Zulkifly (Melaka).

Majlis Tilawah Al-Quran yang berlangsung selama enam hari bermula pada Isnin lepas, menghimpunkan 28 peserta merangkumi 14 qari dan 14 qariah dari setiap negeri.

Seperti edisi sebelumnya, johan qari dan qariah peringkat kebangsaan akan mewakili Malaysia ke Tilawah Al-Quran peringkat antarabangsa yang diadakan bermula 9 Jun depan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 April 2015 @ 9:31 AM