Nurul Hidayah Bahaudin


BAYI lelaki yang dicampak sebaik dilahirkan dari tingkat dua bangunan di Jalan Hentian 4, Hentian Kajang, Kajang, kelmarin, dilaporkan dalam keadaan stabil.

Menurut lelaki yang menyelamatkan bayi berkenaan, Thayalan Paliandy, 33, atau lebih selesa dipanggil Ajey, dia terkejut sebaik melihat status tular di media sosial yang memaklumkan bayi berkenaan sudah meninggal dunia.

“Saya pelik bagaimana berita mengenai bayi itu sudah meninggal dunia boleh tersebar di media sosial sejak malam hari kejadian padahal saya sendiri sudah melawatnya di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang kira-kira 12 tengah hari, semalam.

“Malah, saya juga sudah berjumpa pegawai penyiasat kes berkenaan untuk mengambil keterangan malam tadi dan dimaklumkan bayi itu masih hidup dengan menunjukkan gambar terkini bayi terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Mohd Sabri Abdullah ketika dihubungi turut mengesahkan bayi berkenaan masih hidup.

NSTP melaporkan seorang bayi lelaki dicampak oleh pekerja wanita warga Indonesia dari tingkap bilik air sebuah rumah di tingkat dua sebuah bangunan di Jalan Hentian 4, Hentian Kajang, di sini, kelmarin.

Bayi berkenaan terjatuh mengenai bumbung sebuah restoran sebelum ditemui Ajey di atas jalan berhampiran besi konkrit di belakang restoran berkenaan kira-kira jam 5 petang.

Berita berkaitan

Tergamak kau campak bayi... [METROTV]

[UPDATE] Ibu campak bayi ditahan [METROTV]

[UPDATE] 'Panik tengok bayi itu kebiruan'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 12:19 PM