Nurul Hidayah Bahaudin


“SAYA gembira melihat keadaannya beransur pulih walaupun kecederaan dialaminya parah.”

Begitu kata Thalayan Paliandy, 33, lelaki yang menyelamatkan bayi lelaki yang dicampak ibu kandungnya dari tingkat dua sebuah bangunan di Jalan Hentian 4, Kajang, kelmarin.

Dalam kejadian pada 5 petang itu, bayi berkenaan ditemui Thalayan atau lebih dikenali sebagai Ajey berhampiran besi konkrit selepas dicampak dari tingkap bilik air asramanya.

Ajey berkata, dia amat bersyukur melihat perkembangan kesihatan bayi berkenaan yang dilaporkan stabil selepas melawatnya di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang, hari ini.

“Melihat tahap kecederaan dialaminya menyebabkan saya bimbang, namun saya bersyukur kerana dia kini semakin pulih.

“Saya akan berhubung dengan pegawai penyiasat untuk mengetahui perkembangan bayi berkenaan. Saya harap usaha menyelamatkan bayi itu dengan segera dapat membantu dia sembuh," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ajey memaklumkan dia turut terkilan dengan status yang tular di media sosial menyatakan bayi berkenaan sudah meninggal dunia.

Katanya, dia mengetahui mengenai status yang tular itu sejak malam hari kejadian yang terus dikongsi di media sosial hingga ke hari ini.

“Saya pelik bagaimana berita mengenai bayi lelaki itu sudah meninggal dunia boleh tersebar di media sosial sejak malam hari kejadian padahal saya sendiri sudah melawatnya di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kajang, pada 2 petang tadi.

“Malah, saya juga sudah berjumpa pegawai penyiasat kes berkenaan dan dimaklumkan bayi itu masih hidup dengan menunjukkan gambar terkini bayi terbabit.

“Saya minta orang ramai supaya berhati-hati berkongsi maklumat di media sosial. Pastikan berita yang disampaikan adalah fakta yang benar,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Alhamdulillah, bayi malang kini stabil...

Tergamak kau campak bayi... [METROTV]

[UPDATE] Ibu campak bayi ditahan [METROTV]

[UPDATE] 'Panik tengok bayi itu kebiruan'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Jun 2018 @ 7:14 PM