ZAHIRAH Macwilson. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ZAHIRAH Macwilson. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Najiy Jefri


Berbekalkan wajah cantik, pelakon Zahirah Macwilson mampu mencairkan hati lelaki yang memandangnya.

Malah jika diimbas semula, gandingan Zahirah sebagai Ainee Marwah dengan si hero, Tengku Razeen lakonan Kamal Adli berjaya ‘menyihir’ ramai penonton setia drama Duda Pujaan Dara.

Terbaharu, wanita kacukan Melayu-Australia ini kembali menghangatkan slot Mega Drama saluran Astro Ria menerusi karya 16 episod, Tak Ada Cinta Sepertimu bergandingan dengan hero pujaan ramai, Syafiq Kyle.

Kata Zahirah, dia selesa bekerjasama dengan Syafiq yang komited dengan kerjayanya.

“Drama ini gandingan sulung saya bersama Syafiq dalam drama bersiri. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

“Keserasian itu kami dapat dengan cepat. Dia sangat profesional dan memberikan komitmen terhadap kerjayanya. Saya selesa berlakon di samping Syafiq dan berharap penonton dapat rasakan apa yang kami cuba sampaikan,” katanya.

Memegang watak Athea, wanita berusia 23 tahun ini tambah teruja apabila berpeluang berlakon di samping bapa tercinta, Zainol Johari MacWilson buat julung kalinya.

Kata Zahirah, dia mencadangkan nama bapanya kepada syarikat produksi Suhan Movies bagi memudahkan proses lakonannya dalam drama itu selain mencatat memori terindah.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat gembira kerana dapat berlakon dengan ayah sendiri dan ia memudahkan saya menjiwai watak Athea.

“Sebenarnya saya mencadangkan nama ayah kepada pihak Suhan kerana saya teringin bekerjasama dengannya. Saya mahu gandingan ini menjadi memori terindah kami.

“Saya percaya satu hari nanti, saya atau dia mungkin akan pergi dulu. Sekurang-kurangnya drama ini akan menjadi kenangan kami,” katanya.

Kata Zahirah, sepanjang menjalani penggambaran, dia tiada sebarang masalah kerana bapanya sering menyuntik semangat dan emosi terhadap karakter terbabit.

“Menerusi drama ini saya banyak bermain dengan air mata. Ada satu babak saya sukar menangis, namun ketika ayah pandang mata saya dan memberi kata-kata semangat air mata mengalir dan proses penggambaran berjalan dengan baik.

“Lagipun, berlakon dengan ayah sendiri lebih mudah kerana saya bebas untuk mendukung, mencium dan memeluknya,” katanya.

ZAHIRAH Macwilson. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
ZAHIRAH Macwilson. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Letak tepi soal cinta

Beralih mengenai kisah peribadi, wanita kelahiran Kuala Lumpur ini enggan membuka mulut mengenai status hubungannya dengan pelakon Zul Ariffin.

Kata Zahirah, tahun ini dia nekad memberikan sepenuh perhatian terhadap kerjaya selepas beberapa tahun kebelakangan ini banyak soalan sama berkaitan kisah cinta dan halangan keluarga perlu dijawab.

“Kali ini saya mahu lebih berhati-hati dalam memberikan komen. Saya tidak mahu ulas lanjut mengenai hubungan cinta saya buat masa ini.

“Berilah saya ruang untuk fokus pada karier seni. Kisah peribadi letak tepi dulu,” katanya.

Ditanya mengenai bapanya yang dikatakan tidak merestui hubungan cintanya selain mahu Zahirah fokus pada kerjaya, si jelita ini mengakui menghormati segala teguran dan nasihat bapanya itu.

“Baik atau buruk seorang bapa itu, dia tetap individu yang mesti diberi keutaamaan. Jadi segala nasihat dan teguran yang diberikannya saya sentiasa pegang.

“Namun saya selalu memberitahu dia yang saya komited dengan kerja tetapi mungkin seorang ayah mahukan yang terbaik untuk anaknya,” katanya yang semakin matang dalam membuat keputusan.

Perkembangan lain, Zahirah berkata dia teringin membintangi filem.

Bagaimanapun, dia masih menanti naskhah yang mampu memberi impak terhadap portfolio seninya.

“Tahun ini saya bercadang membintangi filem tetapi masih menunggu skrip dan jalan cerita yang menarik.

“Sebenarnya ada beberapa tawaran membintangi filem, cuma saya perlu memilih karya yang mempunyai nilai komersial dan mampu melonjakkan nama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 7:14 AM