(Gambar kiri) Lim (depan) dan Betty hadir ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari kedua bagi perbicaraan kes rasuah terhadapnya. Turut hadir Phang (gambar kanan). FOTO Danial Saad
(Gambar kiri) Lim (depan) dan Betty hadir ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari kedua bagi perbicaraan kes rasuah terhadapnya. Turut hadir Phang (gambar kanan). FOTO Danial Saad
Siti Sofia Md Nasir

MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang hari ini diberitahu bahawa Citibank Berhad meluluskan pinjaman berjumlah RM2.1 juta kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng bagi pembelian sebuah rumah berharga RM2.8 juta pada 2015.

Perancang Kewangan Bertauliah di AIA Berhad, Lim Wern Shern, 37, berkata, jumlah pinjaman itu adalah 75 peratus daripada harga sebenar kediaman di No 25, Jalan Pinhorn itu dengan jangka masa pinjaman selama 15 tahun.

Lim Wern Shern
Lim Wern Shern

Beliau yang menjadi pengurus jualan di Citibank Berhad Pulau Pinang dari 2012 hingga November 2017, turut mengesahkan perjanjian bagi Facility Agreement antara Lim dan Citibank Berhad ditandatangani pada 24 Julai 2015 di pejabat Lim di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), di Georgetown.

"Saya sahkan tanda tangan di ruangan 'Signature of Purchaser(s)' adalah tanda tangan Lim, manakala tandatangan di ruangan 'Signature of Vendor(s)' adalah Phang Li Koon.

"Saya sendiri berjumpa dengan Phang untuk mendapatkan pengesahan dan tanda tangan," katanya dalam pernyataan saksi yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, hari ini.

Mengulas lanjut, Wern Shern yang juga saksi pendakwaan ke-12 berkata, permohonan pinjaman pada 2015 itu adalah yang kedua, selepas proses jual beli pada permohonan pertama tidak diteruskan oleh pihak peguam iaitu Zaid Ibrahim & Co.

Katanya, pada 5 Jun 2016, isteri Lim, Betty Chew Gek Cheng sekali lagi menghubunginya untuk memulakan semula proses pinjaman bagi kediaman sama dengan pihak Citibank.

"Pada 8 Jun 2016 saya pergi berjumpa Betty di pejabatnya di Menara Penang Garden dan memaklumkan bahawa permohonan pinjaman bank yang disediakan sebelum ini sudah terbatal dan permohonan baru perlu disediakan semula.

"Saya membawa borang permohonan baru untuk diisi, di mana saya menemubual Betty dan mengisi semula borang permohonan pinjaman bank atas nama Lim," katanya.

Wern Shern adalah saksi pertama pendakwaan pada hari kedua perbicaraan dua kes rasuah membabitkan Lim dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 4:50 PM