Lim hadir ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada hari kedua perbicaraan kes rasuahnya. FOTO Danial Saad
Lim hadir ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada hari kedua perbicaraan kes rasuahnya. FOTO Danial Saad
Siti Sofia Md Nasir

SAKSI ke-15 perbicaraan dua kes rasuah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan ahli perniagaan, Phang Li Koon memberitahu Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bahawa nilai kediaman di No 25, Jalan Pinhorn, di Georgetown bernilai RM2.5 juta pada 2008.

Pengarah Henry Butcher Malaysia (Penang) Sdn Bhd, Teoh Poh Huat, 62, berkata, penilaian itu dibuat berdasarkan lawatan fizikal yang dibuat kakitangannya iaitu Penolong Pengurus Bahagian Penilaian, Yeoh Peng Hong pada 21 November 2008.

Beliau berkata, nilai itu juga adalah berdasarkan kedudukan hartanah itu yang terletak di lokasi strategik iaitu hanya 4.2 kilometer dari pusat bandar, selain mempunyai banyak kemudahan asas.

"Kaedah penilaian yang digunakan adalah Kaedah Perbandingan. Kaedah ini dibuat dengan melihat dan membandingkan hartanah berkenaan dengan transaksi jual beli yang terhampir dan sama dengan hartanah yang dinilai.

"Laporan ini berkenaan dengan hartanah yang beralamat di No 25, Jalan Pinhorn dan tujuan penilaian dibuat bagi tujuan 'loan/credit security purposes' yang dimohon Phang," katanya di hadapan Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail, hari ini.

Semalam, pihak pendakwaan dalam ucapan pembukaannya memaklumkan keterangan saksi akan membuktikan kediaman di Jalan Pinhorn itu adalah bernilai RM2.5 juta pada 2008.

Sementara itu, mahkamah turut diberitahu isteri Lim, Betty Chew Gek Cheng, pernah mengunjungi kediaman Phang di Jalan Pinhorn semasa kerja pengubahsuaian sedang dilakukan.

Kontraktor pendawaian elektrik, Lim Kean Ban, yang juga saksi ke-21 berkata, Betty mengunjungi kediaman itu bersama Phang beberapa kali, semasa kerja pengubahsuaian dilakukan pihaknya pada 2009.

"Ya, saya mengesahkan Betty ada datang menemani Phang untuk melihat kerja yang sedang dilakukan di rumah," katanya.

Bagaimanapun, ketika diasak oleh peguam Lim iaitu Gobind Singh Deo, Kean Ban gagal mengesahkan kembali perkara berkenaan.

Katanya, tidak dapat mengingati dengan jelas berapa kali Betty mengunjungi kediaman berkenaan bersama Phang.

Seramai 14 saksi dikemukakan pihak pendakwaan pada hari kedua perbicaraan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Mac 2018 @ 3:57 PM