Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, di sini, menetapkan 19 Februari tahun hadapan untuk pengurusan kes salah guna kuasa bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan memerlukan sedikit masa kerana perlu melengkapkan beberapa dokumen berkaitan sebelum diserahkan kepada pihak mahkamah.

Ahmad Azhari juga menetapkan tarikh sama terhadap pengurusan kes isteri Lim, Betty Chew Gek Cheng yang didakwa melakukan kesalahan pengubahan wang haram dan ahli perniagaan, Phang Li Koon yang didakwa bersubahat dengan Lim.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Shafiq Hasim memaklumkan bahawa pihaknya sudah menyerahkan lebih 100 dokumen dalam bentuk salinan cakera padat (CD) dan memerlukan masa untuk menyerahkan baki lima lagi dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.

Pihak pembelaan yang diwakili RSN Rayer dan A Ruben Kumar bersetuju memandangkan ia atas permintaan peguam utama, Gobind Singh Deo selain memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mahu pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen dalam bentuk salinan bercetak.

Dalam pada itu, Shafiq memaklumkan apabila semua dokumen sudah lengkap pihak pendakwaan akan memohon tarikh perbicaraan pada hari terbabit.

Ketika prosiding, Lim, isteri dan seorang lagi tertuduh tidak hadir kerana mendapat pengecualian mahkamah.

Pada 11 Ogos lalu, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk suapan RM372,000 bagi membolehkan sebuah syarikat ditawarkan projek.

Mengikut pertuduhan Lim, 60 yang juga pada ketika itu sebagai Pengerusi Lembaga Tawaran Penang Development Corporation (PDC), menggunakan kedudukannya untuk suapan wang bagi isterinya iaitu Betty melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd.

Ia bagi memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang yang bernilai RM11,610,000.00 dimana isterinya secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Setiausa Agung DAP berkenaan dituduh melakukan kesalahan itu di antara Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR)

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta yang sama.

Phang pula didakwa bersubahat dengan Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama .

Manakala, Betty didakwa atas tiga pertuduhan melakukan penggubahan wang haram RM372,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Semua kesalahan dilakukan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2020 @ 11:58 AM
PEGUAM R.S.N. Rayer (tengah) dan A. Rueban Kumar (kiri) bersama Timbalan Pendakwa Raya, Syafiq Hasim hadir di Mahkamah Butterworth di sini. FOTO DANIAL SAAD
PEGUAM R.S.N. Rayer (tengah) dan A. Rueban Kumar (kiri) bersama Timbalan Pendakwa Raya, Syafiq Hasim hadir di Mahkamah Butterworth di sini. FOTO DANIAL SAAD