SHEIKH Mohammed (dua dari kiri) bergambar dengan pelancong itu selepas menarik kenderaan mereka yang terkandas di kawasan berpasir. FOTO Hanna Karen Arroyo / Twitter
SHEIKH Mohammed (dua dari kiri) bergambar dengan pelancong itu selepas menarik kenderaan mereka yang terkandas di kawasan berpasir. FOTO Hanna Karen Arroyo / Twitter
Agensi

Dubai: Sekumpulan pelancong yang kereta dinaiki mereka tersangkut di padang pasir di Dubai, terkejut apabila mendapati pemandu kereta yang berhenti untuk memberi bantuan ialah pemerintah Dubai.

Memandu kereta Mercedes-Benz G-Wagen dengan nombor pendaftaran ‘Dubai No 1’, Sheikh Mohammed bin Rashid, berhenti dan menarik kenderaan pelancong itu keluar dari kawasan pasir.

Menurut Daily Mail, pelancong terbabit, Hanna Karen Arroyo melalui Twitter memberitahu, kereta dipandunya bersama sekumpulan rakan tersangkut di satu kawasan berpasir di Dubai, Sabtu lalu.

“Kami bernasib baik apabila diselamatkan Sheikh Mohammed bin Rashid,” katanya.

Hanna turut berkongsi gambarnya bersama Sheikh Mohammed.

Menurutnya, kereta Honda Pilot dipandunya tersangkut di kawasan berpasir berhampiran jalan raya.

Seorang budak lelaki dilihat membantu mengikat tali di hadapan kereta Honda berkenaan dan disambung pada kenderaan dipandu Sheikh Mohammed.

Sheikh Mohammed juga memberi minuman kepada kumpulan pelancong yang terkandas itu.

Ini bukan kali pertama kerabat diraja Dubai dirakamkan membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

Putera Mahkota Dubai, Sheikh Hamdan bin Mohammed pada tahun lalu dirakamkan menggunakan kenderaannya untuk menarik sebuah lori yang terkandas di kawasan berpasir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 4:05 AM