PELAJAR menjalankan aktiviti seharian di Madrasah Addiniah Azzakiah di  Kampung Lubuk Periuk. FOTO Ghazali Kori
PELAJAR menjalankan aktiviti seharian di Madrasah Addiniah Azzakiah di Kampung Lubuk Periuk. FOTO Ghazali Kori
Nazdy Harun


“SEJAK dua tahun lalu, saya nekad meninggalkan dunia yang penuh kesenangan dan mengambil keputusan untuk menghuni di madrasah ini bagi mendalami ilmu agama.

"Hasrat saya tidak dihalang oleh isteri dan dia menyambut baik apa yang saya lakukan dan demi memperjuangkan jihad ke jalan Allah SWT, saya menutup sepenuhnya perniagaan kedai runcit sejak dua tahun lalu," kata Sayed Ibrahim Mohamad Nordin, 51, ketika ditemui di Madrasah Addiniah Azzakiah, di Kampung Lubuk Periuk, Hulu Terengganu, semalam.

Menurutnya, sejak setahun lalu dia menghabiskan masa enam hari di madrasah dan hanya pulang ke rumah pada Jumaat bagi menemui isterinya Rohana Abdul Ghani, 51, yang tinggal di Kampung Machang, di sini.

Katanya, dia nekad menutup kedai runcit yang diusahakannya sejak 31 tahun lalu di Kampung Machang, yang saban hari menjamin pendapatannya antara RM2,000 hingga RM3,000 demi mendalami ilmu agama yang dirasakan amat sedikit dipelajarinya sebelum ini.

Ibrahim berkata, setiap bulan pendapatannya boleh mencecah RM30,000, namun dia menganggap wang dan kemewahan hanya sementara dan yang kekal adalah ilmu yang boleh memberi manfaat sama ada masih hidup mahupun apabila meninggal dunia.

"Selepas mendengar ceramah daripada seorang ustaz hingga menitiskan air mata, timbul keinsafan dalam diri yang merasakan saya amat cetek ilmu berkaitan agama.

"Lalu saya membuat keputusan tidak mahu lagi berniaga dan dengan sedikit pendapatan hasil kebun getah dan sawit, sudah memadai untuk meneruskan kehidupan harian.

"Selepas saya melunaskan semua hutang perniagaan, saya kemudian menutup kedai berkenaan dan berhijrah ke madrasah terbabit untuk mendalami ilmu agama yang ternyata tidak merugikan diri saya dan keluarga," katanya yang mempunyai lima cahaya mata berusia 13 hingga 24 tahun.

Menurut Ibrahim, kehidupannya lebih tenang di madrasah berkenaan dan sepanjang hari dia bersama pelajar lain mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan yang sudah disusun pihak pengurusan.

Katanya, walaupun sudah berusia, namun dia tidak kekok bergaul dengan pelajar yang lebih muda dan kesemua pelajar dianggap seperti anaknya berikutan perbezaan faktor usia yang jauh.

Tambahnya, dalam usia sekarang, kemewahan sudah tidak penting dan yang paling berharga adalah ilmu yang bermanfaat selain kebahagiaan keluarga serta anak-anak yang mampu memberi ketenangan.

"Harta dunia tidak boleh dibawa mati hanya ilmu bermanfaat, sedekah dan doa anak-anak soleh menjadi bekalan di alam sana nanti, oleh itu mempersiapkan diri untuk menempuh kematian adalah wajib.

"Saya tidak hirau apa orang hendak kata asalkan apa yang saya lakukan tidak bercanggah dengan ajaran agama dan terbaik dalam kehidupan saya sekeluarga," katanya.

Menurutnya, dia amat bersyukur kerana isterinya memahami apa yang dilakukannya kini dan isterinya juga banyak berkorban dengan menjaga dua anaknya yang masih bersekolah di rumah.

Katanya, sekiranya mempunyai perkara penting dia dibenarkan pulang oleh pihak madrasah dan lokasi rumahnya yang tidak jauh juga memudahkan dia untuk pulang.

Ibrahim berkata, ketika di madrasah dia perlu hidup berdikari dengan melakukan pelbagai kerja termasuk membasuh dan memasak sendiri dan dari situ dia dapat meringankan beban isterinya yang selama ini banyak berkorban menjaganya.

Sementara itu, pemilik madrasah Zaki Mansur, 43, berkata, di madrasah itu kini terdapat 40 pelajar dan paling muda berusia 15 tahun dan paling tua iaitu Ibrahim, yang berusia 51 tahun.

"Usia bukan halangan untuk menuntut ilmu oleh itu kita sentiasa membuka ruang dan peluang kepada sesiapa pun yang datang untuk menuntut ilmu agama disini," katanya.

Menurutnya, walaupun banyak yang masih kurang, namun sejak beroperasi empat tahun lalu madrasah ini tidak putus-putus menerima pelajar, baik yang dekat mahupun yang jauh dan ada pelajar yang datang antaranya dari Sarawak, Pahang dan Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 3:02 PM