Siti Rohana Idris

Machang: Insiden isteri tercinta pernah terjatuh menyebabkan cedera di bahagian kepala sehingga menerima enam jahitan menjadikan Ibrahim Ahmad dari Kampung Banggol Pemanok, di sini serik untuk meninggalkan wanita itu bersendirian.

Kejadian itu menimpa Siti Rohim, 58, yang diserang strok sejak lebih dua tahun lalu apabila suaminya, Ibrahim, 55, perlu keluar atas satu urusan menyebabkan wanita itu cuba menguruskan rutin sendiri sebelum ditimpa kejadian itu.

Ibrahim yang sebelum ini menjual tembakau di sebuah pasar di Machang terpaksa berhenti daripada meneruskan pekerjaan yang dilakukan sekian lama sebagai punca pendapatan mereka bagi memberi perhatian kepada Siti Rohim yang tidak mampu menguruskan diri.

Ibrahim berkata, mereka yang sudah berkahwin sejak 23 tahun lalu dan tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan hanya kepada dialah tempat isteri bergantung harap, namun dia sendiri tidak pernah mengeluh menjalankan tanggungjawab itu.

"Isteri diserang strok pada Oktober 2018 menyebabkan dia terlantar selama enam bulan dan selepas itu keadaannya beransur baik apabila kerap berurut dan cuba berjalan di sekitar rumah.

"Hinggalah berlaku insiden terjatuh menyebabkan keadaannya seperti hari ini, perlu dipapah untuk bangun, tangan kirinya menjadi lemah dan pertuturannya juga kurang jelas menyebabkan saya mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga sepenuhnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, baru-baru ini.

SITI Rohim yang diserang strok sejak lebih dua tahun lalu menangis sedih mengenangkan keadaan kesihatannya yang terpaksa membebankan suaminya. FOTO Siti Rohana Idris
SITI Rohim yang diserang strok sejak lebih dua tahun lalu menangis sedih mengenangkan keadaan kesihatannya yang terpaksa membebankan suaminya. FOTO Siti Rohana Idris

Ibrahim berkata, rutinnya adalah menyuapkan isterinya makan, menyalin lampin pakai buang dan membersihkan tubuh wanita itu manakala dari segi makan minum pula, mereka bernasib baik kerana berjiran dengan abangnya dan keluarga itu sering menghulurkan makanan.

Bagi mengisi masa lapang, Siti Rohim yang mempunyai hobi membaca kini mengumpul ratusan novel yang memenuhi almari dan Ibrahim berkata, hobi itu juga dianggap terapi bagi isterinya yang ada kala dilihat termenung memikirkan nasib.

"Selalunya jika ada novel yang dirasakan menarik jalan cerita, dia akan membacanya berulang kali dan saya juga akan membelikan novel baharu sekiranya ada jualan murah di mana-mana kedai buku," katanya ketika menerima kunjungan kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society yang menghulurkan bantuan barang dapur.

Ibrahim berkata, mereka kini langsung terputus sumber pendapatan kerana dia tidak boleh meninggalkan Siti Rohim untuk keluar bekerja dan hanya mengharapkan belas ihsan rakan serta jiran tetangga sahaja yang hadir menziarah.

Katanya, dia juga segan untuk membuat permohonan mana-mana bantuan rasmi kerana enggan dikatakan mengambil kesempatan memandangkan keadaan isteri yang dilihat tidak terlalu kronik.

"Bagaimanapun saya akui keadaan kewangan makin terhimpit kerana perlu menyediakan lampin pakai buang untuk isteri dan bimbang keperluan itu akan terputus.

"Rumah kami juga menunggu masa untuk runtuh sahaja dan kini hanya ruang dapur sahaja yang boleh digunakan manakala bahagian lain sudah reput dan tidak boleh dipijak lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 2:42 PM