MINAH.
MINAH.
MOHD Roslan, 48 (kiri) menerima yuran pengajian daripada penghuni pondok.
MOHD Roslan, 48 (kiri) menerima yuran pengajian daripada penghuni pondok.
PELAJAR Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah yang berkumpul di hadapan pondok penempatan mereka.
PELAJAR Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah yang berkumpul di hadapan pondok penempatan mereka.
WARGA emas yang menimba ilmu agama di pondok Madrasah Irshadiah.
WARGA emas yang menimba ilmu agama di pondok Madrasah Irshadiah.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin


“Sebelum berhijrah dan menetap di pondok ini, saya mengambil keputusan menjual rumah bagi memudahkan beribadah dan mendekatkan diri ke jalan akhirat tanpa memikirkan perkara yang sudah berlalu,” kata Minah Ibrahim, 80.

Beliau antara lebih 100 warga emas yang menghuni di pondok Madrasah Irshadiah Al-Ashraf Al-Wataniah di Jalan Stesen, Sungai Bakap, Nibong Tebal, Seberang Perai.

“Saya tiada anak. Hanya anak saudara lelaki kerap yang menziarahi saya di pondok ini jika dia ada masa terluang.

“Namun, semuanya hanya tinggal kenangan apabila anak saudara itu meninggal dunia tiga tahun lalu pada usia 44 tahun. Kini saya hanya bergaul dengan penghuni pondok seusia bagi menghilangkan bosan,” katanya.

Sejak tinggal di pondok berkenaan, rutin hidup hariannya hanya belajar dan mendalami ilmu agama.

“Dari Subuh hingga Isyak saya sama ada akan mengikuti kelas pengajian, solat berjemaah, membaca al-Quran atau berzikir.

“Itulah sahaja bekalan yang akan saya bawa apabila dijemput Allah kelak. Soal dunia sudah tak fikir lagi,” katanya.

Sebenarnya banyak kisah lampau dan kenangan pahit dan manis yang dilalui penghuni pondok berkenaan terutama golongan warga emas.

Seorang lagi penghuni, Azizah Abd Rahman, 68, berkata, dia sudah menetap dan mengikuti pengajian di madrasah itu selama 42 tahun dan sehingga kini belum mendirikan rumah tangga.

“Disebabkan sering sakit dan kerap keluar masuk hospital ketika muda dahulu, saya tidak berkeinginan untuk berkahwin dan bertekad membujang hingga ke hari ini.

“Saya menghidap banyak penyakit seperti batuk berdarah dan kanser kulit ketika muda, malah kini saya bongkok sejak 10 tahun lalu menyebabkan sukar untuk berjalan,” katanya yang berasal dari Jalan Sempadan, Parit Buntar, Perak.

Menurutnya, dia lebih suka hidup bersendirian di pondok bagi mendalami ilmu agama dan menghabiskan sisa hidup yang ada daripada menyusahkan orang lain.

Sementara itu, Rohana Omar, 74, berkata, menetap di pondok lebih mudah dan selesa berikutan usia dan keadaan fizikalnya yang perlu bergerak menggunakan tongkat.

“Sehingga kini saya belum berkahwin. Dulu pernah tinggal di Hulu Langat, Selangor dan mengikuti pengajian ilmu agama di kawasan itu.

“Namun, disebabkan tambang agak mahal untuk ke pusat pengajian agama itu, seorang saudara menghantar saya ke madrasah ini kerana keadaan dan suasana di sini agak selesa,” katanya yang dilahirkan di Negeri Sembilan dan dibesarkan di Kuala Lumpur.

Menurutnya, menghuni dan belajar di pondok paling selesa, aman dan tenang bagi mendalami ilmu agama berbanding kesibukan mengejar harta dunia semata-mata.

Sementara itu, penyelia madrasah itu, Mohd Roslan Selamat 48, berkata, semua penghuni warga emas yang menginap di pondok ini sudah dianggap sebagai penduduk tetap kawasan berkenaan.

“Banyak aktiviti dianjurkan untuk mereka. Selain mendalami ilmu dan kuliah agama, mereka menyertai rombongan pada setiap tahun seperti melawat beberapa pondok pengajian di Kelantan dan Terengganu.

“Malah, mereka juga dapat bercuti di Cameron Highlands dan kami juga menganjurkan gotong-royong menyediakan majlis kenduri di madrasah ini mengikut keperluan hasil sumbangan orang ramai,” katanya.

Menurutnya, hal ehwal kesihatan dan kematian penghuni juga dijaga, dipantau dan diuruskan pihak madrasah berikutan ada antara mereka tiada waris, penjaga, saudara-mara serta anak.

Katanya, bagi penghuni yang memerlukan bantuan kewangan, pihak madrasah cuba mendapatkan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) bagi meringankan beban mereka yang tiada sumber pendapatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 11:29 AM