PENDUDUK melihat serpihan pesawat Sukhoi Su-25 yang bertaburan di kampung Ma’saran di wilayah Idlib, Syria kelmarin. FOTO EPA
PENDUDUK melihat serpihan pesawat Sukhoi Su-25 yang bertaburan di kampung Ma’saran di wilayah Idlib, Syria kelmarin. FOTO EPA
Agensi

Damsyik: Kejayaan pemberontak Syria menembak jatuh pesawat penggempur Russia, Sukhoi 25 (Su-25), semalam, dianggap mengejutkan dan ia kejadian pertama sejak Moscow membabitkan diri dalam perang di Syria pada September 2015.

Juruterbang pesawat bernilai £7.7 juta (RM42.26 juta) itu berjaya melenting keluar sebelum pesawatnya terhempas di wilayah Idlib, utara Syria, namun mati ditembak ketika berbalas tembakan dengan pemberontak yang cuba menahannya.

Menurut BBC, pesawat Su-25 direka sebagai pesawat tempur menyokong serangan tentera darat dan banyak digunakan ketika perang Russia di Afghanistan.

Ia ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu bumi ke udara yang dilancarkan dari bahu namun kumpulan pemberontak terbabit, Hayat Tahrir al-Sham, tidak menyatakan jenis misil berkenaan.

Kumpulan Hayat Tahrir al-Sham yang pernah dikaitkan dengan al-Qaeda, mendakwa dalam kenyataannya ia menembak jatuh pesawat itu menggunakan peluru berpandu bumi ke udara yang dilancarkan dari bahu.

Hayat Tahrir al-Sham sudah lama beroperasi di wilayah terbabit menggunakan banyak nama berbeza sebelum ini.

GAMBAR menunjukkan sebuah pesaway Sukhoi Su-25 terbang di atas bandar Saraqib, berhampiran Aleppo, Syria. FOTO AFP
GAMBAR menunjukkan sebuah pesaway Sukhoi Su-25 terbang di atas bandar Saraqib, berhampiran Aleppo, Syria. FOTO AFP

AFP melaporkan, dalam kenyataan melalui saluran medianya di internet, ketua pertahanan udara kumpulan itu, Mahmoud al-Turkmani, berkata: “Serangan terhadap pesawat itu sebagai membalas kempen pengeboman Russia di Idlib.”

Kementerian Pertahanan Russia mengesahkan pesawat berkenaan ditembak jatuh menggunakan misil mudah alih dan juruterbangnya terbunuh ‘ketika menentang pengganas’.

“Juruterbang sempat melenting keluar dan menghantar laporan pesawatnya ditembak di Idlib,” kata kenyataan itu.

Pertubuhan Pemerhati Kemanusiaan Syria berpangkalan di Britain menyatakan, pesawat yang ditembak jatuh itu antara yang terbabit dalam belasan serangan udara Russia di Idlib dalam tempoh 24 jam sebelum itu.

Menurut pertubuhan itu, 20 orang, termasuk lapan kanak-kanak terbunuh semalam, akibat serangan udara di Saraqib dan kawasan sekitarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 7:27 AM