KEADAAN di kawasan yang dikuasai pemberontak Syria. -Foto  AFP
KEADAAN di kawasan yang dikuasai pemberontak Syria. -Foto AFP
Reuters

BEIRUT : Kumpulan pemberontak utama Syria memberi isyarat bahawa mereka akan mematuhi syarat perjanjian Russia-Turki bagi mengelakkan serangan kerajaan ke atas Idlib.

Tahrir al-Sham, kumpulan dibentuk bekas sekutu al-Qaeda di Syria yang sebelum ini dikenali sebagai Nusra Front berkata mereka menerima syarat itu selepas mengambil masa untuk berunding.

Walaupun tidak menyatakan secara jelas akan mematuhi syarat berkenaan, Tahrir al-Sham berkata mereka akan berusaha memberikan keselamatan untuk penduduk di kawasan yang dikuasai dan menghargai usaha diambil bagi melindungi lokasi itu, merujuk kepada Turki.

“Kami menghargai semua usaha tempatan dan antarabangsa untuk melindungi kawasan ini dan menghalang sebarang pencerobohan,” kata kumpulan terbabit dalam satu kenyataan.

“Tapi kami pada masa sama memberi amaran untuk berjaga-jaga dengan muslihat Russia atau percaya pada niat mereka,” tambah kenyataan itu.

Kumpulan berkenaan juga berkata mereka ‘tidak akan lupa’ kepada bantuan asing yang tiba selama ini.

Satu lagi kumpulan pemberontak utama di Idlib adalah kumpulan sekutu Turki dikenali sebagai Barisan Pembebasan Nasional terlebih dahulu menyatakan sokongan terhadap perjanjian itu.

Ia membabitkan pembentukan zon bebas tentera sejauh 15-20 kilometer ke dalam wilayah pemberontak yang perlu dikosongkan dari sebarang senjata berat dan semua kumpulan pemberontak menjelang hari ini.

Turki selama ini berusaha meyakinkan Tahrir al-Sham untuk menyetujui perjanjian diatur dengan sekutu utama kerajaan Syria iaitu Russia bagi mengelakkan serangan yang boleh membawa kepada gelombang pelarian ke negara mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Oktober 2018 @ 3:37 PM