PENGUAT kuasa KPDNKK memeriksa barangan tiruan di sebuah premis di Plaza Tuanku Abdul Rahman.  FOTO NSTP
PENGUAT kuasa KPDNKK memeriksa barangan tiruan di sebuah premis di Plaza Tuanku Abdul Rahman. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Thailand dan China bukan lagi ‘pembekal tetap’ barangan cetak rompak ke negara ini berikutan produk tiruan Vietnam, Pakistan serta India mula membanjiri pasaran.

Difahamkan faktor harga lebih murah serta kualiti produk tiruan dihasilkan menyebabkan sindiket tempatan beralih arah kepada pembekal baru di negara berkenaan.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur Wan Mhd Yusof W Taib berkata, kebanyakan produk tiruan ‘diimport’ itu berjaya dirampas hasil aduan serta serbuan bersama pemilik jenama tulen.

Menurutnya, pengedar mendapati produk mereka ditiru oleh pihak tertentu bagi mengaut keuntungan.

PENGUAT kuasa KPDNKK memeriksa barang tiruan  di sebuah pusat beli-belah di Chow Kit. FOTO NSTP
PENGUAT kuasa KPDNKK memeriksa barang tiruan di sebuah pusat beli-belah di Chow Kit. FOTO NSTP

“Sepanjang tahun lalu pihak KPDNKK Kuala Lumpur sudah merampas barangan tiruan bernilai lebih RM2 juta dalam operasi sekitar ibu kota.

“Rampasan itu membabitkan barangan tiruan seperti jam tangan, pakaian, kasut, tali pinggang, beg tangan wanita, dompet, minyak wangi, arak serta aksesori elektronik yang menggunakan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Menurutnya, ada barangan tiruan dijual itu mempunyai harga hampir sama seperti harga barangan tulen.

Wan Mhd Yusof berkata, lokasi paling terkenal menjadi lubuk barangan tiruan adalah di premis di Plaza GM, Plaza Tuanku Abdul Rahman, sekitar Jalan Bukit Bintang selain di bazar larut malam uptown sekitar ibu kota.

BAJU tiruan berkaitan sukan permotoran yang membanjiri premis sekitar Kuala Lumpur. FOTO NSTP
BAJU tiruan berkaitan sukan permotoran yang membanjiri premis sekitar Kuala Lumpur. FOTO NSTP

“Biarpun pihak KPDNKK sudah berulang kali melakukan operasi dengan menyita barangan tiruan dijual, namun ada peniaga masih berdegil terus menjual semula barangan berkenaan.

“Kebanyakan tempat ini adalah lokasi tumpuan bukan saja pelanggan tempatan sebaliknya pelancong dari luar negara,” katanya.

Wan Mhd Yusof berkata, kebanyakan barangan tiruan berkenaan diambil dari China, Vietnam, Pakistan, Thailand serta India.

“Sehingga kini, 138 kes sitaan sudah kita lakukan dan operasi akan terus dipergiatkan tahun ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 6:15 AM