Lebih 60,000 pelajar memohon untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada akhir bulan ini.
Lebih 60,000 pelajar memohon untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada akhir bulan ini.
Mohd Nasif Badruddin dan Hayati Ibrahim dan Mohd Husni Mohd Noor

CALON yang dipilih untuk masuk ke sekolah berasrama penuh (SBP) diambil kira berdasarkan tahap pengetahuan am; kecerdasan emosi (EQ); kecerdasan intelektual (IQ); aspek kerohanian dan kemahiran sosial.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata, calon juga dipilih berdasarkan komponen latar belakang sosial dan akademik; lokasi tempat tinggal sama ada di bandar dan luar bandar serta tahap kepimpinan pelajar terbabit.

"Saya boleh katakan kemasukan dan pemilihan pelajar ke SBP sangat berbeza. Ini bermakna Ujian Kemasukan Sekolah Berasrama Penuh (UKSBP) akan mengambil kira banyak komponen dan kesesuaian pelajar untuk masuk ke SBP.

“Semua pelajar boleh mengambil UKSBP dan jika mereka dapat sekadar 2A dan 3B tapi mempunyai kesesuaian untuk masuk ke SBP, maka mungkin calon itu dapat diterima masuk,” katanya pada sidang media Majlis Pengumuman Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah 2017 di sini, hari ini.

Amin berkata, ada juga kemungkinan pelajar mendapat keputusan 6A namun, tidak sesuai masuk SBP kerana tidak mempunyai kelebihan dari segi latar belakang sosial dikehendaki.

"Jika tanya pada saya, semua pelajar boleh ambil ujian UKSBP berkenaan," katanya.

“Permohonan untuk UKSBP dibuka pada 16 Oktober hingga 19 November lalu dan lebih 60,000 pelajar memohon untuk menduduki peperiksaan berkenaan pada akhir bulan ini,” katanya.

Semalam, Ketua Penolong Pengarah Pengurusan Hal Ehwal Murid, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Nor Azlina Abdul Rahim berkata, murid yang memohon menyambung pelajaran ke SBP perlu menduduki UKSBP pada 11 hingga 15 Disember ini.

Menurutnya, UKSBP yang pertama kali diperkenalkan itu akan memberi tumpuan berdasarkan merit dengan mengambil kira keempat-empat komponen dalam Pelaporan Pentaksiran Sekolah Rendah (PPSR).

"Komponen itu diharap dapat melahirkan murid yang seimbang dalam semua aspek termasuk akademik, sahsiah diri dan pembabitan dalam pelbagai aktiviti.

"Semua pelajar layak untuk memohon, tetapi keutamaan diberikan kepada murid luar bandar dan miskin bandar. Pemilihan murid yang layak hanya akan dilakukan selepas murid menduduki UKSBP Disember ini," katanya.

Katanya, pelajar yang sudah memohon perlu membuat semakan untuk mengetahui lokasi pusat bagi menduduki UKSBP mulai 30 November ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 11:23 AM