Mohd Nasif Badruddin

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Galeri Prima di Balai Berita Bangsar, Kuala Lumpur malam ini.

Sempena majlis itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah juga berkenan mempamerkan koleksi 33 lukisan milik baginda untuk tatapan pengunjung galeri.

Semua koleksi lukisan baginda boleh ditatap bermula 25 September lalu hingga 20 Oktober depan.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama Pengerusi Media Prima Berhad (MPB), Tan Sri Ismee Ismail; Pengerusi The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Tan Sri Ismail Omar.

Selain itu, Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid, turut hadir.

Dalam ucapan aluannya, Ismee berkata, pameran bertema ‘Terrains of the heart’ amat istimewa.

Ini berikutan buat pertama kali Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan membenarkan koleksi lukisan baginda sejak berusia awal 20-an iaitu ketika masih menjadi Raja Muda Selangor dipamerkan kepada umum di luar istana.

Katanya, sokongan kuat dan tidak berbelah bahagi baginda terhadap pelukis tempatan seperti Datuk Ibrahim Hussein, Datuk Azman Yusof, Datuk Mohammad Nor Khalid atau Lat memberi nilai tambah serta pengiktirafan atas karya dihasilkan mereka.

“Tidak dinafikan sokongan baginda juga menyemarakkan industri kreatif dan seni visual untuk berkembang,” katanya.

Galeri Prima dibuka secara percuma kepada umum antara 10 pagi hingga 6 petang setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 10:03 PM
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menerangkan koleksi peribadi iaitu lukisan Masjid Negeri Selangor kepada Pengerusi MPB, Tan Sri Ismee Ismail (tiga kiri); Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Kamal Khalid (lima kiri); Pengerusi NSTP, Tan Sri Ismail Omar (dua kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Abdul Jalil Hamid (kanan) ketika majlis perasmian Galeri Prima, pada malam Sabtu, 30 September. FOTO Sairien Nafis