SULTAN Sharafuddin melihat koleksi lukisan miliknya dalam Pameran ‘Terrains of The Heart’ di Galeri Prima.
SULTAN Sharafuddin melihat koleksi lukisan miliknya dalam Pameran ‘Terrains of The Heart’ di Galeri Prima.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Jarang sekali masyarakat berpeluang melihat secara dekat koleksi peribadi milik seorang sultan.

Namun, peluang itu boleh diperoleh dengan mengunjungi Galeri Prima di Balai Berita Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur dalam pameran bertajuk ‘Terrains of The Heart’.

Bukan sekadar melihat tetapi boleh menghayati keindahan, kehalusan kerja seni dan sentuhan ‘magis’ 14 pelukis terkenal negara menghasilkan 33 karya milik Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Antara artis itu ialah Datuk Ibrahim Hussein, Datuk Azman Yusof, Datuk Hossein Enas, Datuk Mohammad Nor Khalid (Lat), Jaafar Taib, Haron Mokhtar, Datuk Chuah Thean Teng dan Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir.

Lukisan pelbagai genre termasuk realisme dan abstrak dihasilkan menggunakan medium akrilik, cat minyak dan tampalan kolaj sangat unik serta kelihatan seperti ‘hidup’.

Lebih istimewa, semua karya itu antara lukisan kesayangan baginda daripada ratusan lukisan koleksi miliknya.

PENGUNJUNG yang hadir melihat pameran.
PENGUNJUNG yang hadir melihat pameran.

Eksekutif Pemasaran Galeri Prima Ain Nur Fatihah Shurizan berkata, tajuk pemeran itu berkaitan kehidupan dan kasih sayang yang mengajak penonton untuk melihat secara lebih mendalam mengenai diri baginda.

“Baginda mempunyai keperibadian yang baik, berfikiran terbuka dan seorang yang sarat dengan kasih sayang.

“Setiap lukisan ini mempunyai kisah di sebaliknya dan kebanyakan mempunyai kaitan dengan kehidupan baginda,” katanya.

Katanya, salah satu lukisan bertajuk ‘Father and Son’ dianggap bermakna bukan kerana dilukis oleh rakan rapat baginda iaitu Ibrahim tetapi dibeli daripada pelukis berkenaan dan dijadikan hadiah sempena hari lahir Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selain itu katanya, 47 gambar baginda dengan 46 daripadanya dalam simpanan arkib The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad turut dipamerkan dan satu daripadanya adalah koleksinya.

“Gambar ini (46 gambar) bermula pada 1952 dipilih dan diperkenan baginda untuk dipamerkan.

“Baginda turut mengingati setiap peristiwa dalam gambar ini dan berkongsi kisahnya ketika merasmikan Galeri Prima baru-baru ini,” katanya.

PAMERAN TERRAINS OF THE HEART

• ARTIS : 14

• KARYA: 33

• TARIKH: 25 September hingga 20 Oktober 2017

• MASA: 10 pagi hingga 6 petang.

• TEMPAT: Galeri Prima, Balai Berita, 31 Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur

• FACEBOOK dan INSTAGRAM: galeri.prima

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 12:34 PM