ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa dari perigi. FOTO ihsan Bomba
ANGGOTA bomba mengeluarkan mayat mangsa dari perigi. FOTO ihsan Bomba
Mohamad Zulhairie Manzaidi


WARGA emas wanita maut selepas terjatuh ke dalam perigi kumbahan di Kampung Wakaf Merah, Tendong, Pasir Mas, malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, mangsa, Bidah Yusof, 76, ditemui maut di dalam perigi sedalam 3.5 meter selepas parah di kepala dan badan.

Mangsa yang tinggal bersama anaknya itu difahamkan sedang menebas rumput di sekitar perigi terbabit berdasarkan penemuan sabit di kawasan berkenaan sebelum tergelincir ke dalam perigi itu.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Pegawai Bomba Kanan II, Adnan Juri berkata, kejadian itu disedari ahli keluarganya pada 7.30 malam sebelum melaporkan kejadian kepada pihak bomba.

"Kami menerima panggilan kecemasan pada 7.40 malam sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mengambil masa selama satu jam untuk mengeluarkan mangsa,"

"Kita terpaksa menggunakan tali bagi menarik mangsa keluar daripada perigi terbabit.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS)," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mayat kemudian dibawa ke Hospital Pasir Mas di sini, untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 1:35 PM