Keadaan ceramah kecoh apabila Husam tiba bersama penyokongnya di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV. FOTO ihsan pembaca
Keadaan ceramah kecoh apabila Husam tiba bersama penyokongnya di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV. FOTO ihsan pembaca
Siti Nor Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Ceramah anjuran Dewan Pemuda PAS Kelantan bertajuk ‘Husam lari debat bai'ah’ kecoh seketika selepas Datuk Husam Musa hadir di pentas bersama penyokongnya, malam tadi.

Ceramah yang diadakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, bermula 9.30 malam yang dihadiri kira-kira 500 penyokong PAS.

Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor bersama penyokongnya tiba pada 11 malam ketika Yang Dipertua PAS Ketereh, Wan Ismail Wan Jusoh sedang menyampaikan ucapan sebelum duduk bersama pemimpin PAS di pentas utama.

Kekecohan bermula apabila seorang penyokong PAS tidak berpuas hati dan tampil ke hadapan pentas untuk mencabar Husam berdebat.

Ketika itu, Ketua Penerangan PAS negeri Datuk Nassuruddin Daud sedang memberi ucapan berhubung tindakan Husam yang mengkhianati bai'ah apabila menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Tindakan lelaki itu menyebabkan beberapa penyokong lain mula tampil ke pentas untuk bersemuka dengan Husam, namun dihalang anggota unit amal, sebelum berlaku pertengkaran mulut di antara penyokong.

Husam kemudian dibawa keluar daripada pentas bagi meredakan kemarahan penyokong dan keadaan kembali tenang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 2:09 AM