REAKSI Salah selepas tewas kepada Fulham, kelmarin.
REAKSI Salah selepas tewas kepada Fulham, kelmarin.
Agensi

London: Robbie Fowler berkata Liverpool tak perlu takut menjual Mohamed Salah pada musim panas jika pemain itu mahu meninggalkan Anfield.

Situasi itu boleh dibandingkan ketika Liverpool melepaskan Philippe Coutinho ke Barcelona pada Januari 2018 yang mengecewakan ramai penyokong mereka ketika itu.

Coutinho mencipta sensasi pada enam bulan pertama dan dianggap pemain terbaik Liverpool ketika itu tetapi masalah kelemahan pertahanan membayangi kegarangan barisan depan.

Jurgen Klopp menjual Coutinho dengan harga rekod £142 juta (RM806.55 juta) yang membolehkan kelab membeli Virgil van Dijk dari Southampton pada tempoh sama.

Enam bulan kemudian mereka menambah Alisson Becker menjaga gawang dan Fabinho di bahagian tengah. Hasilnya Liverpool dua kali mara ke final Liga Juara-Juara dengan menang sekali selain menamatkan kemarau 30 tahun gelaran liga.

Sekarang Fowler mahu Klopp dan Michael Edwards mengulangi langkah sama ke atas Salah yang sebelum ini berkata dia tidak menolak kemungkinan berpindah ke Sepanyol.

"Jika pemain itu beri bayangan mahu pindah, lepaskan dia,'' kata Fowler kepada The Mirror.

"Saya berminat dia terus kekal tetapi saya percaya perpindahan lebih kepada apa yang dimahukan pemain. Jadi bola di kakinya bukan Liverpool.

"Jika dia mahu pergi, biarkanlah dia pergi dan kita perlu menerimanya. Saya amat yakin jika mereka tidak gembira dan mahu pindah, buat apa simpan lagi. Malah, Jurgen Klopp pun bercakap perkara yang sama.

"Itulah yang dilakukan kepada Philippe Coutinho. Dia benar-benar mahu berpindah. Liverpool enggan pada musim panas kerana tawaran tidak menarik tetapi mereka menjualnya pada Januari dan hasilnya mereka membeli Virgil van Dijk dan Alisson.

"Klopp tak mahu Coutinho kerana sikapnya dan dia tak mahu ia menjadi racun dalam kem pasukan. Jadi, jika Salah tidak gembira, jika dia kecewa tidak diberi kontrak baharu atau apa sahaja, jual sahaja dan gunakan duit untuk perkuatkan semula pasukan.''

Salah kini berbaki dua tahun kontrak dan bakal berusia 29 tahun pada musim panas ini. Liverpool perlu membuat keputusan mengenai masa depannya dalam jangka masa terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 8:06 PM