WAN Ahmad Fayhsal pada lawatan pemantauan pemain Selangor menjalani sesi latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di padang SUK, Seksyen 5, Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
WAN Ahmad Fayhsal pada lawatan pemantauan pemain Selangor menjalani sesi latihan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di padang SUK, Seksyen 5, Shah Alam. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Majlis Keselamatan Negara (MKN) diyakini akan memberikan lebih kelonggaran jika pemain industri sukan dan rekreasi mengekalkan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, berdasarkan pematuhan yang ditunjukkan, MKN akan memberikan kelonggaran kepada industri berkenaan untuk beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Hari ini, saya turun ke beberapa fasiliti sukan untuk melihat sendiri, seperti ke padang latihan skuad bola sepak Selangor, sebuah gimnasium dan Kelab Golf Kota Permai di Kota Kemuning... saya amat berpuas hati dengan pematuhan SOP di ketiga-tiga fasiliti sukan itu.

"Walaupun dalam tempoh PKP, sektor sukan masih disambut baik oleh peminat sukan seluruh negara.

"Jadi ini menunjukkan pemulihan sukan sedang berlangsung dan kita harap dengan pematuhan SOP di semua tempat di Selangor ini.., lama-kelamaan kelonggaran akan diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke fasiliti sukan bagi meninjau tahap pematuhan pembukaan sektor sukan dan rekreasi PKP di Kota Kemuning, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pegarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Selangor, Hasnata Hasan.

Mengulas mengenai pemantauan fasiliti sukan dan rekreasi pula, katanya, pihaknya akan menjalankan pemantauan SOP di seluruh negara melalui Rakan Muda - Sports Bubble Volunteers (SBV) yang dijangka akan memulakan kerja pemantauan awal bulan depan.

"Setakat ini belum ada jadual pemantauan yang khusus, sebab kita masih mengumpul data lengkap mengenai sukarelawan-sukarelawan yang berminat.

"Bermula pada awal Mac depan, pasukan ini akan mula memantau fasiliti sukan dan rekreasi di seluruh negara sekurang-kurangnya sekali atau dua kali seminggu terutamanya pada hujung minggu kerana kita jangka waktu itu kepadatan tinggi di fasiliti terbabit.

"Pemantauan ini amat penting sebab kita mahu SOP benar-benar dipatuhi kerana tidak mahu kluster timbul daripada mana-mana fasiliti sukan dan rekreasi yang mendapat kelonggaran daripada MKN," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Fayhsal berkata, pihaknya akan mempertimbangkan permohonan beberapa persatuan sukan untuk diberi suntikan vaksin Covid-19 dalam fasa pertama untuk pemain bola sepak dan pegawai yang terbabit dalam Liga Malaysia dan atlet yang akan menyertai kejohanan sukan antarabangsa.

Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

"Keutamaan pemberian vaksin Covid-19 pada masa kini adalah bagi petugas barisan hadapan serta atlet yang akan ke Sukan Olimpik Tokyo.

"Pada masa ini, bagi atlet yang tidak menerima vaksin pada fasa pertama, pematuhan kepada SOP sudah mencukupi untuk mengelakkan diri mereka daripada dijangkiti Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2021 @ 3:34 PM