SESI latihan ketika ini tidak dapat dijalankan berikutan PKP. FOTO FB TFC
SESI latihan ketika ini tidak dapat dijalankan berikutan PKP. FOTO FB TFC
Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) dijangka menerima perkhabaran gembira apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersedia mempertimbangkan kelonggaran latihan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kesediaan MKN dan agensi Kerajaan seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mendengar rintihan mereka cukup dihargai.

Malah, kelonggaran latihan ini juga akan dapat memberi peluang buat semua pasukan Liga-M melakukan persiapan rapi menjelang sepak mula pada 5 Mac ini.

"MFL ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan khususnya Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan KKM dalam mempertimbangkan cadangan kelonggaran aktiviti sukan dan rekreasi dalam tempoh PKP.

"MFL berharap kelonggaran ini dapat diberikan di mana menjadi satu kelegaan dan harapan besar kepada penggiat dan industri sukan bahawa walaupun dalam saat rakyat bersama-sama berjuang untuk menurunkan rantaian pandemik Covid-19, sukan tempatan masih diberi perhatian dan pembelaan.

"Apa yang pasti industri sukan negara akan tetap menyokong usaha kita semua untuk terus memerangi Covid-19 dan dalam masa yang sama, MFL harap rakyat Malaysia kekal aktif dan cergas," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Ghani mengharapkan pertimbangan sewajarnya dari MKN untuk membenarkan pasukan menjalani latihan pada minggu hadapan sebelum sepak mula bulan depan.

Malah, semua pasukan turut bersedia mengetatkan lagi SOP masing-masing bagi memastikan tiadanya pemain dan pegawai dijangkiti Covid-19.

"MFL memberi jaminan bahawa akan terus bersama-sama memastikan amalan pencegahan penularan wabak Covid-19 menjadikan keutamaan dalam menghidupkan semula industri sukan bola sepak tanahair," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Februari 2021 @ 6:30 PM