Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Walaupun kerajaan kembali melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama dua minggu di enam buah negeri bermula Rabu ini, latihan pusat sepenuh masa atlet negara yang ketika ini dijalankan secara pendekatan kuarantin akan tetap diteruskan. Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pusat latihan terbabit adalah di Kompleks Sukan Negara Bukit Jalil, Kompleks Sukan Keramat, Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara, Kompleks Sukan Paralimpik Kampung Pandan dan Velodrom Nilai.

"Latihan akan diteruskan dengan langkah kawalan pergerakan yang lebih ketat," kata KBS dalam satu kenyataan.

Enam negeri yang dikenakan PKP adalah Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Selain itu, enam negeri lain iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala Perlis dan Sarawak dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Sementara itu, KBS berterima kasih di atas kelonggaran diberikan terhadap aktiviti sukan dan rekreasi yang masih boleh diteruskan seperti mana dicadangkan oleh KBS.

"Ini termasuklah aktiviti sukan dan rekreasi yang masih boleh diteruskan bagi kawasan PKP dengan syarat dalam 10 kilometer radius dari tempat kediaman seperti berlari, berbasikal dan aktiviti bukan berkumpulan satu hingga dua orang sesama isi rumah yang sama sahaja.

"Pihak KBS sedang meneliti beberapa perkara berkaitan pengumuman PKP ini dengan pihak MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan perincian mengenainya akan dimaklumkan kemudian. "Bagi kawasan PKPB dan PKPP, SOP (prosedur operasi standard) sektor sukan dan rekreasi atau SOP gelembung sukan yang berkuatkuasa hendaklah dipatuhi sepanjang masa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 January 2021 @ 11:05 PM