HADI berpeluang nikmati lebih minit permainan di Jepun.
HADI berpeluang nikmati lebih minit permainan di Jepun.
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Bagi memastikan penyerang negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak meraih minit permainan yang lebih di Liga Jepun musim depan, pemain kelab Fagiano Okayama itu akan dipinjamkan ke kelab Azul Claro Numazu selama semusim.

Fagiano yang beraksi di divisyen dua terpaksa meminjamkan Hadi untuk bermain di liga ketiga Jepun yang akan memberikan pengalaman baharu buatnya selain membuka peluang beraksi.

Keputusan untuk meminjamkan Hadi dibuat selepas perbincangan di antara penyerang tinggi lampai itu serta pihak Yakult Malaysia dan Fagiano.

Hadi, 20, mengakui nyata gembira dan tidak sabar untuk memulakan aksinya bersama Azul Claro Numazu.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kelab Fagiano Okayama terutama kepada semua jurulatih dan pemain. Selama dua tahun bersama kelab ini saya banyak belajar dan memperbaiki diri saya sebagai pemain bola dan saya berasa amat gembira.

"Saya anggap perpisahan ini hanyalah sementara dan yang pasti saya akan kembali bersama Fagiano Okayama nanti. Saya tidak sabar untuk memulakan musim baru saya bersama Numazu dan insya-Allah saya akan lakukan yang terbaik," katanya.

Bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu bersama Fagiano Okayama sejak Disember 2018 dan muncul sebagai pemain Malaysia pertama yang bermain di liga profesional di Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 8:06 PM