SURESH layak ke Sukan Paralimpik Tokyo tahun depan.
SURESH layak ke Sukan Paralimpik Tokyo tahun depan.
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Kejohanan Simulasi Memanah yang berakhir semalam di Majlis Sukan Negara (MSN) nyata melegakan atlet memanah paralimpik negara.

Selepas tidak menyertai sebarang kejohanan sejak Mac lalu, atlet memanah paralimpik negara dilihat bersemangat dan teruja apabila diberi peluang merasai suasana seperti kejohanan sebenar.

Antara yang lega dengan penganjuran kejohanan itu adalah S Suresh yang sudah pun mengesahkan slot ke temasya Sukan Paralimpik Tokyo tahun depan.

Meskipun mempunyai pengalaman luas di pentas antarabangsa, Suresh mengakui tetap berasa gugup selepas sekian lama tidak beraksi.

"Kejohanan ini sedikit sebanyak mengembalikan keyakinan saya untuk beraksi lebih baik. "Sudah lama tidak beraksi di kejohanan sebenar, jadi perasaan gementar itu memang menguasai diri dan sedikit sebanyak menjejaskan aksi saya," katanya.

Bagaimanapun, Suresh tetap mampu beraksi cemerlang apabila berjaya menewaskan rakan sepasukan, Hasihin Sanawi dengan keputusan 7-1 pada aksi final recurve.

Suresh mengesahkan slot ke temasya Paralimpik selepas berjaya melangkah ke final acara recurve individu lelaki pada Kejohanan Memanah Para Dunia di Hertogenbossch, Belanda, Jun tahun lalu.

Kejayaan berkenaan tidak terhenti setakat itu sahaja apabila pada aksi final, Suresh berjaya meraih emas selepas menumpaskan atlet Amerika Syarikat, Eric Bennett.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 5:23 PM