RONALDO meraikan kejayaan selepas meledakkan gol kedua Juve. FOTO AFP
RONALDO meraikan kejayaan selepas meledakkan gol kedua Juve. FOTO AFP
AFP

Milan: Cristiano Ronaldo dimasukkan dari bangku simpanan dan berjaya meledakkan dua gol selepas pulih daripada Covid-19 untuk memastikan kemenangan Juventus menewaskan Spezia 4-1 dalam Serie A.

Juara bertahan itu menamatkan rentetan tiga keputusan seri sebelum ini untuk menduduki tempat ketiga Serie A, empat mata di belakang pendahulu AC Milan yang menewaskan Udinese 2-1.

Sassuolo mengatasi Juventus untuk menduduki tempat kedua, dua mata di belakang Milan, selepas melakarkan kemenangan 2-0 ke atas Napoli, kejayaan pertama mereka di Stadio San Paolo.

Ronaldo dimasukkan bagi menggantikan Paulo Dybala minit ke-56 di Cesena dalam satu perlawanan yang seimbang apabila Tommaso Pobega berjaya menyamakan kedudukan selepas Alvaro Morata meledakkan gol pertama Juventus.

Namun penyerang Portugal itu meletakkan Juve di depan tiga minit kemudian.

Adrien Rabiot meletakkan nama sebagai penjaring ketiga minit ke-68 dengan Ronaldo menyempurnakan sepakan penalti untuk gol keduanya ketika saingan berbaki 15 minit untuk gol kelima keseluruhan dari tiga perlawanan liga musim ini.

"Cristiano sudah kembali. Ia yang penting," kata Ronaldo yang tidak diturunkan ketika mereka tewas 0-2 kepada Barcelona dalam saingan Liga Juara-Juara minggu lalu.

"Saya tidak beraksi untuk satu tempoh yang lama biarpun saya tidak menunjukkan sebarang simptom dan berasa baik. Hari ini saya kembali melakukan apa yang saya suka, bermain bola sepak."

Ronaldo diuji positif Covid-19 selama 19 hari selepas kembali daripada tugasnya bersama Portugal, sudahpun terlepas empat perlawanan sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2020 @ 9:15 AM