CUACA panas berisiko untuk individu mengalami strok haba.
CUACA panas berisiko untuk individu mengalami strok haba.
Nurul Husna Mahmud


Jangkaan pakar meteorologi tempatan mengenai cuaca panas kemuncaknya pada bulan ini dengan suhu mencecah 38 hingga 40 darjah Celcius dijangka menjejaskan ramai orang.

Cuaca panas boleh memberi kesan termasuklah tekanan pada tubuh apabila mempunyai implikasi buruk andai terdedah terlalu lama dengan suhu terlalu tinggi.

Tidak hanya dehidrasi atau pitam, senario terburuk mereka yang terdedah terlalu lama di dalam cuaca panas boleh mengundang risiko maut akibat strok haba.

Bagi mereka tergolong dalam kumpulan berisiko seperti kelompok terbabit dengan kegiatan fizikal di luar seperti buruh, peladang, ahli sukan, anggota keselamatan (tentera dan polis) dan sebagainya perlu lebih peka mengenai keadaan sekitar serta tahap kesihatan mereka.

Golongan dewasa berusia 40 tahun ke atas juga tidak berkecuali berbanding kumpulan usia muda. Dijangka risiko golongan itu meningkat 10 kali ganda.

ELAK minuman berkafien dan gula tinggi.
ELAK minuman berkafien dan gula tinggi.

Tidak lupa juga pesakit yang mempunyai masalah pernafasan, darah tinggi, jantung, kencing manis dan penyakit kelenjar tiroid juga terjejas dalam cuaca panas.

Bagi kanak-kanak pula, usia di bawah lima tahun sebaiknya tidak dibiarkan terlalu lama 'berjemur' di luar rumah ketika cuaca panas melanda kawasan sekitar.

Justeru, bagi mengurang 'kejutan' pada tubuh akibat terdedah dengan cuaca panas, beberapa langkah boleh diambil orang ramai. Antaranya:

BANYAKKAN pengambilan air kosong.
BANYAKKAN pengambilan air kosong.

1. Pengambilan air kosong dengan banyak tanpa mengira tahap aktiviti fizikal yang dilakukan. Jangan tunggu sehingga dahaga.

Elak mengambil minuman mengandungi kafien dan tinggi gula.

2. Lindungi diri dengan berada selama mungkin dalam rumah atau bangunan.

3. Hadkan aktiviti dan kerap berehat selain pilih aktiviti yang sesuai termasuk bersenam.

4. Mandi atau gunakan pelbagai cara untuk sejukkan badan seperti gunakan kipas angin dan berada di dalam ruang mempunyai pengudaraan baik. Elak berada dalam ruang sempit dan tertutup seperti kereta yang tidak bergerak atau bertutup.

5. Pakai pakaian longgar dan ringan selain berwarna terang. Warna pakaian gelap mencerap haba lebih baik serta memburukkan keadaan jika dipakai dalam cuaca panas.

6. Pakai topi atau payung besar jika perlu berada di luar rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 6:18 AM