SAMSUNG menduduki tempat pertama dalam kaji selidik yang dilaksanakan berkaitan pilihan jenama penggun. FOTO NSTP
SAMSUNG menduduki tempat pertama dalam kaji selidik yang dilaksanakan berkaitan pilihan jenama penggun. FOTO NSTP
Muhammad Saufi Hassan

SAMSUNG Electronics dinobat sebagai jenama terbaik di Asia tahun ini, sekali gus mengekalkan kedudukannya untuk lapan tahun berturut-turut hasil daripada keputusan soal selidik ‘1,000 Jenama Terbaik di Asia’.

Kaji selidik secara dalam talian itu dilaksanakan bagi negara Asia Pasifik dengan kerjasama Nielsen dan keputusan kajian itu mendapati Samsung Electronics masih kekal bertahan sebagai jenama terbaik berbanding pesaingnya.

Kaji selidik itu dilaksanakan menerusi 15 kategori utama antaranya automotif, runcitan, barangan makanan dan barangan elektronik.

Ia berdasarkan kepada pengalaman orang ramai menggunakan pelbagai jenama yang berada di pasaran dan jenama yang menjadi pilihan tatkala ingin membeli barangan elektronik.

Samsung menduduki tempat pertama untuk enam kategori termasuk jenama mudah alih mesra pengguna, jenama paling berpengaruh dan jenama yang banyak mempengaruhi pilihan pengguna untuk membeli barangan elektronik.

Kaji selidik pada tahun ini juga menyaksikan Samsung mendominasi bagi segmen telefon pintar, jenama pengeluar televisyen dan kategori pelopor teknologi rumah pintar.

Kajian itu mendedahkan jenama paling berpengaruh di 14 pasaran di Asia untuk memastikan ketepatan hasil soal selidik yang dilaksanakan termasuk mempunyai kumpulan sasar tertentu berdasarkan kepada umur, jantina dan pendapatan per kapita setiap isi rumah.

Soal selidik 1,000 Jenama Terbaik di Asia itu memperoleh data di Internet bermula 13 Mac sehingga 10 April membabitkan 14 pasaran di Asia.

Negara yang mengambil bahagian dalam kajian ini adalah Australia, China, Hong Kong, India, Indonesia, Japan, Malaysia, New Zealand, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Taiwan, Thailand dan Vietnam.

Sebanyak 400 responden untuk setiap segmen pasaran dipilih dan menjawab setiap persoalan yang dikemukakan termasuk jenama pilihan untuk setiap segmen berkenaan.

Hasil soal selidik secara besar-besaran itu juga mendedahkan bahawa Samsung masih kekal bertahan jenama terbaik berbanding syarikat pengeluar elektronik yang lain untuk tahun kelapan berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Jun 2019 @ 9:22 AM