SNAP Inc.
SNAP Inc.
Muhammad Saufi Hassan


Generasi Z di negara ini mengalami stress berpunca daripada persekitaran fizikal dan trend berkenaan dilihat semakin meningkat.

Berdasarkan satu kajian yang dilaksanakan oleh sebuah firma media sosial, Snap Inc yang juga pembangun aplikasi Snapchat mendedahkan bahawa sebanyak 44 peratus rakyat Malaysia mengalami stress setiap minggu.

Snap Inc mengemukakan penemuan data kaji selidik yang bertujuan untuk memahami generasi muda.

Kajian ini mendapat 8,200 responden di antara lima negara APAC, iaitu Malaysia, Jepun, Australia, Indonesia, dan India.

Data kaji selidik ini juga menyatakan bahawa faktor penyumbang kepada tekanan itu adalah berkaitan pandemik Covid-19, kewangan, pelajaran, pekerjaan dan beberapa faktor lain.

Secara umumnya, masalah tekanan dalam kalangan masyarakat di negara ini meningkat berpunca daripada Generasi Z yang diharap dapat berfungsi seperti orang dewasa oleh keluarga masing-masing.

Kaji selidik itu juga merekodkan sebanyak 77 peratus tekanan berpunca daripada masalah berkenaan apabila kebanyakan keluarga mengharapkan Generasi Z ini untuk memikul tanggungjawab sama seperti orang dewasa.

Selain itu, 66 peratus mendapat tekanan akibat daripada pandemik, 61 peratus tentang punca pendapatan, susah tidur malam (54 peratus) dan pelajaran atau pekerjaan sebanyak 49 peratus.

Menerusi perspektif positif, kaji selidik ini juga mendapati sebanyak 51 peratus mengakui bahawa Generasi Z akan meluangkan masa untuk menggunakan aplikasi sosial dan berkomunikasi bersama keluarga.

Pada masa sama, Generasi Z di Malaysia menyatakan bahawa mereka lebih menghargai ahli keluarga dengan rekod maklum balas daripada responden sebanyak 58 peratus.

Sebanyak 54 peratus responden dalam kalangan segmen masyarakat ini juga mengakui bahawa hubungan antara ahli keluarga menjadi semakin erat semenjak pandemik Covid-19 melanda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Mac 2021 @ 4:10 PM