SUSPEK lelaki diburu polis selepas berkelakuan tidak senonoh terhadap pekerja wanita di premis aksesori telefon di Manggatal. FOTO Ihsan Polis
SUSPEK lelaki diburu polis selepas berkelakuan tidak senonoh terhadap pekerja wanita di premis aksesori telefon di Manggatal. FOTO Ihsan Polis
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Polis giat mengesan seorang lelaki yang berkelakuan tidak senonoh terhadap pekerja wanita pusat aksesori telefon di Manggatal, di sini, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil siasatan pihak polis mendapati kejadian berlaku Jumaat lalu, kira-kira 8.30 malam.

Katanya, mengikut laporan mangsa, suspek dikatakan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kemaluannya sambil bertelefon.

"Suspek dikatakan bukan pelanggan biasa di kedai berkenaan dan tidak pernah dilihat datang ke kedai berkenaan.

"Suspek dilihat memakai baju berwarna putih dengan zip seluarnya terbuka," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, suspek juga dilihat berlegar-legar di kawasan belakang kedai berkenaan.

Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, Kasim berkata, pihaknya masih menjejaki suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek dikehendaki supaya tampil membantu siasatan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Audrea Johnson di talian 019-5209 0380.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mei 2024 @ 9:51 AM