KINI bertugas di Avisena Women’s And Children’s Specialist Hospital.
KINI bertugas di Avisena Women’s And Children’s Specialist Hospital.
Hafiz Ithnin


"Ketika usia kanak-kanak, saya tidak ada cita-cita untuk menjadi pakar dalam pergigian kanak-kanak. Apatah lagi ketika itu rasa takut atau trauma dengan bau klinik gigi sememangnya ada kerana sentiasa 'tertanya-tanya' apa yang berlaku jika saya berada dalam klinik gigi," jelas Pakar Pergigian Kanak-kanak, Dr Sharifah Wade'ah Wafa Syed Saadun Tarek Wafa.

Lebih mesra disapa Dr Wafa, wanita kelahiran Johor dan membesar di Perak itu sebenarnya antara kira-kira 100 doktor pakar pergigian kanak-kanak yang ada di negara ini.

Menceritakan kisah pembabitannya dalam dunia pergigian kanak-kanak katanya, segalanya bermula apabila dia menjadi Pegawai Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak.

Katanya, ketika itu sekitar 2010 dia perlu memberi perkhidmatan dalam pelbagai bidang rawatan pergigian termasuk kanak-kanak.

"Sejak saya bergelar graduan Ijazah Doktor Pergigian (DDS) di Universitas Padjadjaran, Indonesia pada 2009, saya tidak mempunyai minat dalam bidang pergigian kanak-kanak kerana melihat golongan berkenaan terlalu rumit untuk dikendalikan berbanding rawatan pergigian lain.

DR Wafa (kiri) bersama rakan-rakan ketika majlis graduasi Kings College London.
DR Wafa (kiri) bersama rakan-rakan ketika majlis graduasi Kings College London.

"Namun, segalanya berubah ketika saya berkhidmat sebagai pegawai perubatan pergigian di Perak apabila ditugaskan memberi rawatan kepada kanak-kanak yang sebenarnya bidang rawatan itu amat mencabar untuk seorang doktor gigi. Apatah lagi, jika bergelar pakar," katanya.

Jelasnya, sebagai pakar pergigian kanak-kanak perlu memahami semua jenis rawatan dan pembedahan dalam bidang pergigian seperti tampalan, rawatan akar, kecederaan gigi dan pembedahan kecil oral.

BERSAMA keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang penting untuk Dr Wafa.
BERSAMA keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang penting untuk Dr Wafa.

"Justeru, saya melihat bidang ini amat menarik untuk diterokai sehingga mengambil keputusan melanjutkan pengajian pakar pergigian kanak-kanak di King's College, London di United Kingdom pada 2014 hingga 2017.

"Sebaik sahaja tamat pengajian, saya bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya (UM) dalam bidang pergigian kanak-kanak dari 2018 hingga 2022. Seterusnya pada April 2022, saya berkhidmat sebagai pakar pergigian kanak-kanak di Avisena Women's And Children's Specialist Hospital. Pada masa sama, saya menjadi pensyarah sambilan di UM," katanya.

Dr Wafa berkata, dia masih ingat kejadian demam ketika menjadi pegawai pergigian di Perak apabila ditempatkan di klinik pakar pergigian kanak-kanak.

"Ketika itu, saya baru hari pertama ditugaskan. Dikelilingi kanak-kanak yang pelbagai ragam. Ada antaranya menjerit dan menangis.

 MENERIMA Diploma Royal College of Surgeons Edinburgh.
MENERIMA Diploma Royal College of Surgeons Edinburgh.

"Jadi, hari kedua itu saya terus demam dan meminta cuti sakit kerana trauma dengan keadaan itu yang sebenarnya perkara baharu untuk saya," katanya.

Jelasnya lagi, namun dia perlu memberikan perkhidmatan terbaik walaupun pada awalnya dunia rawatan pergigian kanak-kanak bukan jiwanya.

"Apatah lagi ketika itu, penyelia saya adalah seorang yang amat tegas. Jadi, kita sebagai doktor gigi yang baharu tidak boleh melakukan tugasan sambil lewa.

"Ketika berkhidmat di bahagian kanak-kanak saya mempelajari sedikit demi sedikit cara untuk mengendalikan golongan itu dari segi emosi mereka khasnya," katanya.

Tambahnya, perkara itu penting kerana rawatan pergigian kanak-kanak memerlukan seorang doktor itu mampu memancing emosi si kecil terlebih dahulu sebelum meneruskan rawatan berbanding orang dewasa.

"Apabila kita mampu menarik perhatian kanak-kanak ini, mereka tidak akan trauma untuk berjumpa doktor gigi pada masa depan.

BERTUGAS sebagai doktor pakar pergigian selama tujuh tahun.
BERTUGAS sebagai doktor pakar pergigian selama tujuh tahun.

"Jadi, sebagai pakar pergigian selain perlu memahami pelbagai prosedur rawatan yang rumit, kami juga perlu juara dalam menguasai emosi pesakit dalam kalangan kanak-kanak," katanya.

Katanya, dia amat menggalakkan kehadiran individu yang berminat mendalami ilmu pergigian terutama membabitkan kepakaran dalam bidang pergigian kanak-kanak.

"Di Malaysia kita tidak mempunyai ramai pakar pergigian kanak-kanak. Justeru, kehadiran bakat baharu ini amat diperlukan untuk memberi rawatan terbaik kepada golongan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2024 @ 7:01 AM