JIKA tidak pasti dengan hasil pemeriksaan payudara, wanita perlu dapatkan pemeriksaan doktor bertauliah. - FOTO Google
JIKA tidak pasti dengan hasil pemeriksaan payudara, wanita perlu dapatkan pemeriksaan doktor bertauliah. - FOTO Google
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


LAPORAN Daftar Kanser Malaysia Tahun 2006 hingga 2011 mendedahkan, 34 peratus barah dalam kalangan wanita adalah barah payudara.

Pada masa sama, berdasarkan laporan itu, seorang daripada 27 wanita berisiko menghidap barah terbabit.

Barah payudara adalah barah yang paling kerap berlaku dalam kalangan wanita, bukan sahaja di Malaysia, malah seluruh dunia.

Sehingga kini, tahap kesedaran masyarakat terhadap barah payudara masih rendah walaupun kempen kesedaran sudah banyak dilakukan dan maklumat berkaitan penyakit itu begitu mudah didapati menerusi media sosial.

Pakar Pembedahan Am, Hospital Pakar An-Nur Dr Afizah Salleh berkata, ramai pesakit atau 50 peratus pesakit yang datang ke hospital berada pada peringkat lanjutan iaitu tiga dan empat.

Menurutnya, pada tahap ini, kadar pemulihan dan keupayaan pesakit untuk bebas daripada penyakit itu sangat rendah serta risiko kematian juga meningkat.

"Sempena bulan kesedaran barah payudara Oktober ini, pelbagai aktiviti dirancang untuk meningkatkan kesedaran mengenai risiko, saringan tersedia, gejala dan rawatan disediakan.

"Daripada segi etnik, Melayu adalah kaum paling ramai datang ke hospital pada peringkat lewat, berbanding kaum lain walaupun etnik Cina mendahului peratusan insiden kes dilaporkan.

"Kebolehan untuk sembuh daripada barah dikira sebagai kebolehupayaan untuk hidup mengikut tahun," katanya.

Dr Afizah berkata, secara keseluruhan, 68 peratus pesakit berpeluang hidup selama lima tahun bagi semua peringkat barah dan meningkat kepada 80 peratus untuk 10 tahun bagi barah peringkat satu.

"Barah peringkat satu ditentukan apabila hanya ada ketulan kecil bersaiz kurang daripada dua sentimeter (sm) dan belum merebak ke tempat lain.

WANITA digalak  melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan. - FOTO Google
WANITA digalak melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan. - FOTO Google

BARAH peringkat lanjutan, sel barah boleh merebak ke paru-paru, hati, otak dan tulang. - FOTO Google
BARAH peringkat lanjutan, sel barah boleh merebak ke paru-paru, hati, otak dan tulang. - FOTO Google

"Saringan untuk barah payudara tidak dapat dilakukan secara wajib kepada semua wanita kerana semuanya berisiko," katanya.

Dr Afizah berkata, bagaimanapun, risiko penyakit ini boleh menjadi rendah, sederhana atau tinggi bergantung kepada faktor lain.

Jelasnya, untuk risiko rendah (risiko kurang daripada 17 peratus), puncanya daripada masalah kegemukan, pengambilan minuman beralkohol, bersalin lewat iaitu berusia lebih 30 tahun, pengambilan hormon bagi wanita menopaus dan pengambilan hormon perancang keluarga.

"Manakala risiko sederhana, (risiko 17 hingga 30 peratus), ia berisiko kepada individu berusia lebih 40 tahun, haid pertama berumur kurang 12 tahun, menopaus pada umur lebih 55 tahun, wanita tidak pernah bersalin, wanita yang pernah ada masalah payudara bukan barah dan payudara yang tinggi densiti (lebih banyak tisu glandular dan tisu fibrous berbanding tisu lemak serta dilihat putih dalam mamogram).

"Bagi risiko tinggi pula, (risiko lebih 30 peratus), risikonya adalah kepada individu mempunyai sejarah barah payudara, sejarah keluarga menghidap barah payudara, sejarah radiasi dan faktor genetik.

"Pengetahuan dan kesedaran ini sangat penting supaya wanita dapat datang sendiri ke hospital untuk saringan, sekiranya mendapati diri mereka berisiko walaupun tanpa gejala," katanya.

Kata Dr Afizah, saringan boleh didapati di klinik kesihatan atau hospital swasta yang menyediakan pakej tertentu terutama pada Oktober ini.

"Saringan biasanya adalah melalui mamogram, namun boleh juga dilakukan secara ultrabunyi atau pengimejan resonans magnetik (MRI), bergantung kepada usia dan gejala.

"Selain saringan, penting juga untuk mempunyai pengetahuan mengenai gejala barah payudara.

"Apa sahaja ketulan yang ditemui di payudara, ia memerlukan pemeriksaan lanjut iaitu pemeriksaan tiga serangkai, yakni pertanyaan mengenai risiko dan gejala serta pemeriksaan klinikal, pengambilan contoh tisu dan pengambilan imej (sama ada mamogram, ultrabunyi atau MRI)," katanya.

Dr Afizah berkata, wanita turut digalakkan untuk melakukan pemeriksaan sendiri payudara setiap bulan selepas satu atau dua minggu berakhir darah haid.

"Pemeriksaan boleh dilakukan ketika baring terlentang atau lebih mudah di hadapan cermin.

"Ini untuk melihat tanda seperti payudara tidak sama saiz, kulit merah dan berlubang-lubang seperti kulit oren, lekukan pada kulit atau ketulan halus pada kulit payudara.

OKTOBER adalah bulan kesedaran barah payudara. - FOTO Google
OKTOBER adalah bulan kesedaran barah payudara. - FOTO Google

"Jika tidak pasti dengan hasil pemeriksaan, wanita perlu mendapatkan pemeriksaan daripada doktor bertauliah.

"Adalah satu perkara yang menyedihkan apabila pesakit datang lewat untuk rawatan. Mereka menyembunyikan masalah di payudaranya selama berbulan-bulan hingga bernanah, timbul ulser dan merebak ke organ lain seperti paru-paru, hati, otak serta tulang," katanya.

Katanya lagi, ada wanita yang datang pemeriksaan awal, tetapi apabila mengetahui dirinya menghidap barah dan ditawarkan untuk melakukan pembedahan, terus menghilangkan diri daripada rawatan susulan.

"Ada yang kemudian datang semula dengan masalah sesak nafas, kuning mata atau patah tulang atau tidak sedarkan diri kerana sel barah sudah merebak ke otak.

"Tidak kurang juga pesakit datang dalam keadaan sudah nyawa-nyawa ikan dan tidak boleh diselamatkan. Oleh itu, setiap tahun, apabila tiba Oktober, kempen kesedaran payudara diadakan untuk terus memberi pengetahuan dan meningkatkan kesedaran orang ramai," katanya.

Menurut Dr Afizah, program dirancang diharap dapat meningkatkan lagi penemuan barah payudara di peringkat awal, seawal ketika tiada ketulan dirasai, hanya perubahan yang dijumpai ketika mamogram dilakukan.

"Ini memberi peluang kesembuhan lebih baik dan pesakit tidak perlu melalui pelbagai rawatan yang menyakitkan serta mempunyai kesan sampingan.

"Contoh, barah peringkat satu, terdapat pilihan pembedahan yang tidak memerlukan membuang semua payudara, hanya perlu membuang ketulan bersama satu sentimeter tisu yang normal di sekeliling ketulan.

"Untuk kelenjar di bahagian ketiak, jika tidak dapat merasa bengkak atau dilihat melalui ujian mamogram atau ultrabunyi, ada rawatan dipanggil 'sentinel lymph nodes biopsy' yang mana dibuktikan dahulu terdapat perebakan sebelum kelenjar itu dibuang," katanya.

Beliau berkata, keputusan ini akan dibincangkan oleh pakar bedah yang merawat bersama pesakit untuk rawatan terbaik dengan menimbangkan risiko barah datang semula dan rawatan susulan.

"Selain itu, jika terpaksa membuang keseluruhan payudara, ada pembedahan rekonstruktif yang mengembalikan semula bentuk payudara.

"Caranya dengan mengambil otot atau lapisan lemak di bahagian lain tubuh pesakit.

"Jika pesakit dikenal pasti barah tahap tiga (ketulan bersaiz besar), terdapat perubahan pada kulit payudara seperti ulser, bijian halus atau melekat pada otot atau tulang rusuk," katanya.

Dr Afizah berkata, dalam keadaan ini, kemungkinan pembedahan sudah tidak dapat dilakukan kecuali kemoterapi untuk mengecutkan ketulan.

Tambahnya, untuk barah payudara peringkat empat, hanya rawatan paliatif dapat diberikan seperti mengeluarkan air daripada paru-paru, radioterapi untuk tulang belakang atau otak dan menurunkan jumlah kalsium dalam darah akibat sel barah merebak ke tulang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2022 @ 7:00 AM