LELAKI turut berisiko hidap barah payudara, kebanyakan didiagnosis pada peringkat lanjutan.
LELAKI turut berisiko hidap barah payudara, kebanyakan didiagnosis pada peringkat lanjutan.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


RAMAI beranggapan lelaki tidak akan menghidap barah payudara kerana penyakit ini lebih sinonim kepada wanita.

Hakikatnya mereka turut berisiko dengan penyakit ini kerana mempunyai sedikit tisu payudara yang boleh membentuk barah berkenaan.

Purata seorang daripada 1,000 lelaki berisiko menghidap barah payudara.

Perunding Onkologi Aurelius Hospital Nilai Dr Jenson Sow Wen Jen berkata, walaupun penyakit ini jarang berlaku kepada lelaki, kebanyakan pesakit didiagnosis pada peringkat lanjutan.

Menurutnya, ini disebabkan ramai lelaki tidak menyedari risiko menghidap barah payudara dan tiada rutin pemeriksaan biasa.

"Namun, lelaki perlu mempunyai kesedaran dan mengetahui tanda serta gejala barah payudara supaya boleh membuat pengesanan awal.

"Seperti penyakit barah lain, adalah penting untuk memahami gejala awal setiap penyakit agar boleh mendapat rawatan yang betul," katanya.

Dr Jenson berkata, kelangsungan hidup bagi pesakit lelaki adalah lebih 'kritikal' kerana barah mudah merebak lebih cepat ke organ lain.

Katanya, oleh itu pengesanan awal barah payudara adalah penting bagi menyelamatkan nyawa mereka.

"Terdapat beberapa gejala biasa barah payudara lelaki yang perlu diberikan perhatian.

"Pertama ialah bengkak pada bahagian payudara, ulser pada puting atau payudara, puting susu masuk ke dalam, ruam di sekitar puting susu, benjolan di kawasan ketiak dan keluar cecair (darah) daripada puting susu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Oktober 2022 @ 6:45 AM