GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Suliati Asri


Memiliki badan yang kurus dan sihat menjadi idaman sesetengah individu. Namun menguruskan badan bukan mudah.

Walaupun sudah dilakukan pelbagai usaha termasuk bersenam dan menjaga makan serta mengambil pelbagai jenis produk pelangsingan, namun ia tetap tidak berhasil.

Justeru, pembedahan bariatrik atau pintasan perut adalah antara solusi yang boleh dilakukan terutama mereka yang sudah buntu dalam mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.

Pembedahan ini juga adalah pilihan yang sangat selamat dan digalakkan bagi yang ingin menguruskan badan.

Pakar Bedah Bariatrik dan Bedah Am Hospital Island Pulau Pinang, Dr Abdul Gafoor Mubarak berkata, bariatrik adalah pembedahan yang membantu pesakit untuk kurus dengan cepat.

"Bukan itu saja, pembedahan ini juga membantu pesakit yang mempunyai masalah lain seperti darah tinggi, kencing manis, sakit lutut serta mereka yang mempunyai masalah untuk mendapatkan anak dengan cara mengurangkan berat badan.

"Bagi sesetengah orang, mengurangkan berat badan bukan sesuatu yang mudah. Sebagai contoh, daripada 100 pesakit hanya lima orang yang berjaya mengurangkan 60 peratus daripada berat badan yang berlebihan selama enam bulan.

"Daripada mereka yang berjaya itu, hanya lima peratus yang boleh mengekalkan berat badan itu selama setahun.

"Oleh itu, menerusi pembedahan bariatrik dan sebagai doktor pakar, kami menawarkan rawatan yang boleh membantu mereka menurunkan berat badan dengan cepat dan kekal kurus," katanya yang sudah menjadi pakar bedah selama 12 tahun.

Bagi pesakit yang mempunyai masalah kesihatan terutama kencing manis dan darah tinggi, selepas melakukan pembedahan bariatrik ini, kata Dr Abdul Gafoor, mereka sudah tidak perlu makan ubat lagi.

"Pelanggan kedua paling ramai juga adalah pasangan suami isteri yang sudah lama berkahwin, tetapi tidak punya anak disebabkan seorang daripada mereka mempunyai masalah kegemukan.

"Alhamdulillah, kami sudah berjaya membantu lebih 30 pasangan mendapatkan anak selepas setahun melakukan pembedahan bariatik ini," katanya.

BARIATRIK antara solusi buat mereka yang sudah buntu dalam mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.
BARIATRIK antara solusi buat mereka yang sudah buntu dalam mencari penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi.

Pembedahan bariatrik ini sudah lama di Malaysia iaitu sejak 50 tahun lalu. Bagaimanapun, hanya baru-baru ini ia menjadi bualan hangat terutama di media sosial.

Mengulas lanjut, Dr Abdul Gafoor berkata, hal itu disebabkan dua faktoriaitu pertama adalah isu nombor di mana hampir 50 peratus daripada penduduk di Malaysia kelebihan berat badan.

"Mereka yang gemuk di Malaysia sebenarnya sangat ramai walaupun ramai dalam kalangan mereka yang sudah mencuba banyak cara, tetapi tidak berjaya.

Lebih membimbangkan, peratusan itu tidak hanya tinggi di Malaysia, tetapi juga di Asia.

"Kedua adalah media sosial yang mana platform itu mempunyai banyak maklumat yang membantu memberitahu pesakit mengenai bariatrik, sekali gus menjadikan ia semakin sohor (trending)," katanya yang turut menggunakan aplikasi TikTok sebagai platform menyampaikan maklumat mengenai kesihatan terutama bariatrik dan kini mempunyai hampir 650,000 pengikut.

Turut dikenali sebagai Doktor G di aplikasi TikTok, Dr Abdul Gafoor berkata, bariatrik atau sangat popular dengan istilah 'potong perut' mempunyai tiga jenis pembedahan dan yang paling popular adalah 'gastric sleeve' atau pintasan gastrik.

Menerusi rawatan itu, perut pesakit dipotong 70 peratus di bahagian perut yang menghantar isyarat lapar kepada otak dan meninggalkan hanya 30 peratus.

Dengan itu pesakit tidak akan berasa begitu lapar. Rawatan kedua popular adalah rawatan belon yang membabitkan dua belon iaitu secara telan dan satu lagi memasukkan belon dengan menggunakan endoskopi.

Kedua-dua prosedur itu juga sangat selamat dan memberi penurunan berat badan antara lapan hingga 10 kilogram (kg) dalam masa enam bulan.

Akhir sekali adalah pembedahan bariatrik pintasan yang lebih dikhususkan kepada pesakit yang mempunyai darah tinggi dan kencing manis. Dr Abdul Gafoor berkata, dengan mengikuti saranan yang ditetapkan hospital, berat badan mereka boleh hilang 10kg hingga 15kg dalam masa sebulan bergantung kepada berat badan asal.

"Penurunan berat badan juga akan lebih cepat, namun ia akan berhenti dan kekal apabila berat badan pesakit mencapai berat ideal," katanya.

Berjaya melakukan lebih 1,000 pembedahan Bariatrik, Dr Abdul Gafoor berkata, pihaknya sangat terkejut kerana hampir 70 peratus pesakit datangnya dari luar Pulau Pinang.

Sebanyak 40 peratus daripada mereka adalah datangnya dari Indonesia, Singapura dan Timur Tengah.

"Kami menjadi tumpuan kerana dua sebab iaitu pertama adalah harga yang sangat konpetitif iaitu anggaran RM25,000 hingga RM27,000 dan perkhidmatan yang diberikan.

"Kedua adalah berkenaan dengan interaksi pesakit dengan kami (pihak hospital).

Walaupun sudah balik, kami tetap berinteraksi dengan pesakit, sekali gus memudahkan mereka untuk bertanya pelbagai hal berkaitan pembedahan mereka," katanya.

Dr Abdul Gafoor berkata, selain membantu pesakit kurus dengan cepat, pembedahan itu juga sebenarnya untuk kesihatan. Pembedahan ini juga katanya, adalah satu pilihan yang sangat selamat dan sangat digalakkan bagi yang ingin menguruskan badan.

"Oleh itu, saya berharap orang ramai akan sedar bahawa pihaknya sebenarnya menawarkan perkhidmatan yang selamat untuk pesakit yang ingin kurus.

"Saya juga berharap masyarakat tidak beranggapan rawatan bariatrik ini jalan pintas atau jalan mudah untuk kurus kerana selepas pembedahan, pesakit perlu ikhtiar sendiri untuk kurus.

"Pesakit tetapi perlu menjaga diet, mengawal kuantiti pengambilan makanan dan bersenam barulah mereka boleh kurus dengan cara bariatrik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 September 2022 @ 12:48 PM