DR Lau menerangkan salah satu jenis/kaedah pembedahan Bariatrik.
DR Lau menerangkan salah satu jenis/kaedah pembedahan Bariatrik.
Suliati Asri


OBESITI sering dikaitkan dengan berat badan berlebihan disebabkan tabiat pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Daripada luaran, obesiti ini kebiasaannya dilihat sebagai masalah kegemukan atau terlebih berat badan saja.

Namun, hakikatnya ia boleh mengundang pelbagai masalah terutama membabitkan kesihatan.

Malah, obesiti kini semakin meruncingkan apabila hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 50.1 peratus orang dewasa berdepan masalah berlebihan berat badan atau obesiti.

Daripada jumlah berkenaan 30.4 peratus berlebihan berat badan manakala 19.7 peratus adalah obesiti.

Peratusan ini pastinya meningkat berikutan pandemik

Covid-19 yang menuntut masyarakat berada di rumah dalam jangka masa panjang serta ramai yang masih bekerja di rumah sehingga kini.

Pakar Pembedahan Bariatrik dan Gestrousus Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Lau Peng Choong berkata, lazimnya definisi obesiti ialah Jisim Indeks Tubuh (BMI) seseorang yang sudah melebihi 30 berbanding bacaan 25 ke 30 untuk terlebih berat badan dan BMI normal iaitu 20 ke 25.

Menurutnya, BMI juga dikelaskan mengikut bacaan BMI dengan setiap penambahan 5, ia dikelaskan kepada obesiti kelas 1, 2, 3 dan empat.

"Bagi orang Asia, bacaan BMI akan ditolak 2.5 kerana saiz badan lebih kecil dari orang barat.

"Ini bermakna jika bacaan BMI obesiti ialah 30 di negara barat, di Asia BMI yang dikira obesiti ialah 27.5 mengikut definisi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.

Dr Lau berkata, apabila berat badan tidak optimum dan sudah terlebih, seseorang itu berisiko mendapat penyakit disebabkan oleh obesiti dipanggil penyakit metabolik.

Katanya, penyakit metabolik ini membabitkan banyak penyakit dan paling biasa ialah kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung, gout, kolestrol tinggi dan masalah hati.

"Selain penyakit metabolik yang biasa, obesiti juga dikaitkan dengan hampir 50 jenis penyakit dan lebih membimbangkan, obesiti kini dikaitkan dengan penyakit kanser.

"Risiko kanser yang boleh dihidap juga adalah tinggi jika seseorang itu obesiti. Lebih lama seseorang itu obesiti, risiko itu semakin tinggi," katanya.

Mengikut statistik, jangka hayat seseorang yang obesiti juga mungkin pendek lima hingga tujuh tahun bergantung kepada tahap obesiti pesakit.

Dr Lau berkata, jika obesiti tidak dikawal, seseorang itu akan menjadi lebih berat dan kebiasaan mereka akan mendapat penyakit.

"Kalau seseorang itu obesiti, mereka mungkin akan mengidap kencing manis dan penyakit itu berkait dengan penyakit lain seperti buah pinggang, mata serta hati yang akan menjadi teruk serta mempunyai komplikasi dan akhirnya meninggal.

"Paling menakutkan, Malaysia kini negara yang paling berat di Asia. Statistik juga menunjukkan 50 peratus rakyat Malaysia terlebih berat badan. Daripada jumlah itu, 1:2 rakyat terlebih berat badan dan 20 hingga 30 peratus adalah obes," katanya.

Obesiti boleh dicegah

Ramai sedia maklum, terlebih berat badan atau obesiti boleh dicegah dengan pengambilan makanan sihat, makan tidak berlebihan dan pengamalan gaya hidup sihat, tetapi tidak semua mempraktikkannya dalam kehidupan seharian.

Dr Lau berkata, apabila sudah dikategorikan sebagai obesiti, kebanyakan mereka tidak akan berbuat apa-apa sehinggalah disahkan mempunyai penyakit metabolik.

"Jika seseorang itu hanya terlebih berat badan, kita perlu menyelesaikan masalah itu sebelum komplikasi terjadi. Tetapi apabila sudah ada komplikasi, agak sukar untuk berpatah balik," katanya.

Bariatrik Rawatan Obesiti

Obesiti bukanlah pengakhiran bagi menghidapnya terutama mereka mempunyai penyakit kerana kini terdapat pelbagai jenis rawatan boleh dijalankan bergantung kepada keadaan pesakit dan nasihat doktor.

Kata Dr Lau, setiap individu adalah tidak sama dan rawatan dilakukan berbeza tetapi tetap akan dari rawatan kesihatan.

"Selepas disahkan obesiti, pesakit akan diberikan ubat dan beberapa rawatan lain sehinggalah langkah terakhir ialah menerusi cara pembedahan dipanggil pembedahan bariatrik.

"Pembedahan bariatrik ialah satu kaedah pembedahan untuk mengurangkan berat badan dengan cara melakukan perubahan dalam sistem pemakanan termasuk perut atau usus kecil yang sudah wujud sejak 30 hingga 40 tahun dahulu," katanya.

Kata Dr Lau, pembedahan bariatrik ini membabitkan beberapa kaedah, tetapi paling lazim dan popular dilakukan adalah 'sleeve gastrectomy.'

"Kaedah lain ialah pembedahan pintasan usus untuk membuat kantung kecil daripada perut dan menghubungkannya terus ke usus kecil.

"Fungsi kedua-dua pembedahan ini adalah untuk mengecutkan perut, mengecilkan perut dan mengehadkan pengambilan makanan sekali gus membolehkan seseorang pesakit itu hanya makan 150 hingga 200 mililiter (ml) sahaja.

"Bagi pembedahan pintasan usus pula, pembedahan ini akan membolehkan makanan sampai ke usus dengan lebih cepat," katanya.

Jelasnya, prosedur bariatrik yang dijalankan adalah 99 peratus melalui kaedah pembedahan laparoskopik iaitu menebuk tiga hingga lima lubang di bahagian perut atas pusat.

Walaupun pembedahan ini dilakukan bagi mengawal berat badan, namun untuk melakukannya memerlukan saranan atau nasihat doktor pakar.

"Pembedahan ini dilakukan disebabkan dua faktor iaitu yang pertama untuk menguruskan badan terutama pesakit yang tiada kencing manis atau darah tinggi.

"Kedua adalah bagi mereka yang yang sudah mempunyai kencing manis atau darah tinggi dan fokus utama adalah cuba menghentikan kencing manis menjadi lebih teruk," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Lau berkata, jika seseorang itu tiada kencing manis atau penyakit lain dan hanya mempunyai berat badan berlebihan saja, BMI yang sesuai untuk membuat pembedahan ialah lebih 37.5 iaitu kelas ketiga obesiti.

"Tetapi jika dia ada penyakit metabolik, walau pun obesitinya masih di kelas kelas 2, kita sudah menggalakkannya buat rawatan ini.

"Bagi kelas satu pula, kalau kencing manis sangat teruk, kita akan meminta pesakit mempertimbangkan dan bukan dicadangkan.

"Bagaimanapun, kalau pesakit mempunyai kencing manis yang teruk walaupun sudah dibekalkan ubat, mengambil insulin dengan dos yang banyak, kita boleh pertimbangkan untuk membuat pembedahan," katanya.

Risiko pembedahan

Menyentuh mengenai risiko pembedahan bariatrik, beliau berkata, semua jenis pembedahan mempunyai risiko termasuklah risiko bius dan pembedahan itu sendiri.

Bagaimanapun katanya, risiko pembedahan bariatirk ini sama seperti risiko buang batu karang di bahagian hempedu.

"Apa juga pembedahan membabitkan risiko pendarahan, jangkitan kuman, disebabkan kita memotong usus dan menyambungnya kembali. Risikonya ada tempat sambung itu bocor.

"Tetapi risikonya sangat nipis kerana pembedahan jenis ini memerlukan kita hanya potong dan sambung saja selain tidak memotong salur darah," katanya.

Dengan pengalaman sebagai doktor selama 20 tahun, Dr Lau menyarankan mereka yang terlebih berat badan, sudah disahkan obesiti atau kencing manis segera berjumpa doktor.

"Buat pengetahuan semua, obesiti ini boleh dicegah dan dirawat tetapi kami sebagai doktor memerlukan keberanian pesakit untuk berjumpa doktor untuk mengatasinya.

"Pembedahan Bariatrik ini sudah ada kajian saintifik dan di Malaysia ia sudah dilakukan sejak tahun 2000.

"Kini, sudah lebih 10,000 kes dilaksanakan di Malaysia selain pakar bedah yang dulunya tidak ramai kini sudah bertambah terutama di Lembah Klang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 November 2021 @ 6:41 AM