DR Mustafa (kanan) menunjukkan demo pembedahan bariatrik.
DR Mustafa (kanan) menunjukkan demo pembedahan bariatrik.
Yusliza Yakimir Abd Talib


OBESITI menjadi masalah yang semakin membimbangkan di Malaysia, hingga mencapai gelaran negara ‘paling gemuk di di Asia’ dengan kadar di negara ini adalah 30.6 peratus.

Dengan kadar tiga daripada 10 rakyat Malaysia mengalami obesiti, hakikatnya penyakit ini memerlukan langkah pencegahan atau rawatan kerana ia boleh menyebabkan lebih 40 penyakit lain termasuk diabetes jenis 2, penyakit jantung dan jenis kanser tertentu.

Pembedahan bariatrik sudah terbukti dapat membantu pesakit mengurangkan dan mengekalkan berat badan. Prosedur ini dijalankan sama ada dengan mengurangkan saiz perut menggunakan pengikat perut atau mengeluarkan sebahagian daripada perut.

Di seluruh dunia, lebih 184 juta orang layak dari segi perubatan untuk menjalani pembedahan bariatrik, namun kurang daripada satu peratus menjalani prosedur ini walaupun ia paling berkesan dan berpanjangan untuk menangani obesiti.

Manfaat pembedahan bariatrik bukan sekadar menurunkan berat badan bahkan kajian dunia sebenar menunjukkan pengurangan kos penjagaan kesihatan, rawatan hospital dan kurang kebergantungan kepada ubat untuk diabetes, dislipidemia serta hipertensi.

Pakar Perunding Perubatan dan Endokrinologi, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Madya Dr Norlaila Mustafa berkata, usaha menurunkan berat badan boleh menjadi cabaran bagi ramai individu mengalami obesiti, sekalipun dengan mengamalkan senaman dan diet.

Katanya, wujud faktor saling mempengaruhi seperti faktor genetik dan hormon yang menjadikan lebih mencabar bagi pesakit menurunkan berat badan mereka dan seterusnya indeks jisim badan (BMI).

“Seseorang itu layak untuk menjalani pembedahan bariatrik jika mereka mempunyai BMI 40 atau lebih. Individu yang mengalami sekurang-kurangnya satu atau lebih komorbiditi berkaitan obesiti dengan BMI 35 atau lebih tinggi juga boleh menjalani prosedur ini.

“Pesakit yang menjalani pembedahan bariatrik didapati hidup lebih lama daripada orang dewasa yang mengalami obesiti teruk, kurang mendapat serangan jantung dan strok, risiko lebih rendah mendapat kanser tertentu dan kurang menghidap diabetes jenis 2, hipertensi, apnea tidur dan penyakit jantung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran kempen Reclaim Life with Bariatric Surgery anjuran Ethicon, Johnson & Johnson Sdn Bhd sempena Hari Obesiti Sedunia baru-baru ini susulan tekad syarikat itu bagi menambah baik piawaian penjagaan bagi rawatan obesiti.

Pakar Perunding Pembedahan dan Bariatrik, Dr Mustafa Mohammed Taher berkata, pembedahan bariatrik bukan jalan penyelesaian mudah seperti yang mungkin disangka ramai orang.

Katanya, pembedahan ialah permulaan proses menurunkan berat badan, namun pesakit terpaksa memberikan komitmen untuk mengubah sama sekali gaya hidup mereka.

“Biasanya, pesakit yang menjalani pembedahan bariatrik boleh menurunkan kira-kira satu pertiga daripada berat badan mereka pada tahun pertama selepas pembedahan dan mengekalkan berat badan itu dalam jangka panjang.

“Kadar kejayaan selepas pembedahan banyak bergantung pada kesungguhan pesakit untuk mengekalkan gaya hidup sihat,” katanya.

Dalam pada itu Dr Mustafa berkata, obesiti bukan saja mendedahkan seseorang kepada risiko penyakit, tetapi menurunkan tahap kesuburan dalam kalangan wanita, oleh itu pembedahan itu juga sebagai antara langkah pesakit yang cuba hamil.

Menurutnya, ramai dalam kalangan pesakit wanita yang dirawat dengan pembedahan itu dapat hamil selepas pembedahan kerana tahap kesuburan kembali normal.

DR Mustafa (dua dari kiri) bersama Dr Norlaila (kiri), Ketua Kumpulan Pembedahan Global Johnson & Johnson Malaysia, Christopher Henry (kanan) dan Prof Chef Zam yang juga bekas pesakit yang pernah menjalani pembedahan bariatrik.
DR Mustafa (dua dari kiri) bersama Dr Norlaila (kiri), Ketua Kumpulan Pembedahan Global Johnson & Johnson Malaysia, Christopher Henry (kanan) dan Prof Chef Zam yang juga bekas pesakit yang pernah menjalani pembedahan bariatrik.

Kehamilan selepas pembedahan bariatrik

Kehamilan selepas pembedahan adalah lebih selamat dengan komplikasi yang lebih sedikit berbanding kehamilan bagi wanita obesiti

Pesakit perlu tunggu sekurang-kurangnya enam bulan selepas pembedahan untuk cuba hamil

Penjagaan kehamilan seperti wanita normal.

Ibu hamil dinasihatkan mengambil protein yang mencukupi selain multivitamin untuk kandungan bayi

Rundingan pranatal dilakukan dengan pakar obstetrik untuk menilai perkembangan bayi yang betul

Rundingan secara berkala dengan pakar pemakanan untuk merawat kekurangan nutrisi, mencegah atau mengubati masalah yang berkaitan dengannya

Siapa yang harus menjalani pembedahan bariatrik

Mempunyai BMI 40 atau lebih.

Mempunyai BMI antara 35 hingga 39.9 bersama risiko kesihatan seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan apnea tidur.

Kadangkala mungkin juga dijalankan bagi BMI 30 jika berisiko tinggi.

Pembedahan bukan bertujuan kecantikan atau kosmetik seperti pembedahan sedut lemak sebaliknya untuk mengurangkan risiko kesihatan.

Ia hanya boleh dilakukan selepas usaha melalui perubahan gaya hidup gagal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Oktober 2019 @ 5:40 AM