Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Gelaran rangka berjalan, tidak cukup zat atau kurus keding pasti menjadi kebiasaan terhadap mereka yang mengalami masalah badan terlalu kurus. Seperti kegemukan, mereka yang berdepan masalah terlalu kurus juga tidak terlepas daripada isu keyakinan yang menghantui diri.

Memiliki badan terlalu kurus membuatkan segelintir daripada mereka berasa diri serba kekurangan, bahkan tidak sedikit yang rasa rendah diri hingga ramai yang sanggup berusaha dengan pelbagai cara untuk menambah berat badan sesuai yang diidamkan termasuk menggunakan ubat penggemuk badan yang belum tentu terjamin keselamatannya.

Begitu juga dengan mereka yang berdepan masalah terlalu gemuk, pasti pelbagai cara dilakukan untuk menurunkan berat badan sehingga memiliki badan idaman.

Memiliki tubuh dengan berat ideal sememangnya menjadi dambaan setiap orang, cuma tidak semua mampu memperoleh apa yang mereka inginkan. Namun dengan usaha konsisten, setiap impian pasti dapat dicapai termasuk menambah berat badan hingga tampak lebih berisi dan sihat.

Ketika ini, banyak produk menawarkan cara menambah berat badan yang tentunya memerlukan kos, baik dengan teknik tertentu mahupun menggunakan ubat-ubatan, cuma jika memilih menggunakan ubat sebaik-baiknya perlu selektif memilih ubat yang selamat.

Sebenarnya jika anda ingin berat badan bertambah dan tampak lebih berisi, ada pelbagai cara yang boleh dilakukan tanpa pengambilan ubat.

Bagaimanapun, sebaik-baiknya kita perlu kenali keadaan tubuh terlebih dahulu termasuk apa yang menjadi penyebab badan menjadi kurus sama ada disebabkan kemungkinan seperti keadaan tubuh yang terganggu atau faktor keturunan.

Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pakar KPJ Tawakkal, Gan Yian Kee dan Iris Mok, kurang berat badan diklasifikasikan melalui indeks jisim tubuh (BMI) yang digunakan untuk menunjukkan sama ada berat badan seseorang itu seimbang dengan ketinggiannya. BMI yang normal antara 18.5 hingga 24.9.

Jika BMI kurang daripada 18.5, bermaksud seseorang itu dikategorikan sebagai kurang berat badan.

Mereka berkata, kekurangan berat badan boleh disebabkan pelbagai faktor sama ada faktor psikologi atau faktor fisiologi.

“Keturunan atau genetik didapati salah satu faktor masalah kekurangan berat badan. Seseorang dengan ‘lean gene’ akan mempunyai kadar metabolisme yang lebih tinggi.

“Selain itu, sesetengah penyakit boleh mengakibatkan penurunan berat badan seperti hyperthyroidism (masalah hormon tiroid yang lebih tinggi), tibi, kanser dan HIV atau AIDS. Penyakit jenis ini mengakibatkan kehilangan jisim otot kerana tisu otot akan digunakan untuk melawan jangkitan.

“Kesan sampingan daripada penyakit dan ubat boleh menyebabkan kehilangan selera makan, memerlukan kalori yang lebih tinggi disebabkan jangkitan, masalah menelan dan sebagainya,” katanya.

Faktor psikologi pula termasuk tekanan dan kemurungan yang boleh menghilangkan selera makan seseorang dan mengakibatkan kurang berat badan.

Seseorang yang kurang berat badan akan lebih terdedah kepada jangkitan disebabkan lemah dan sistem imun yang terjejas. Selain itu, kekurangan berat badan juga akan mengakibatkan keguguran rambut, jisim otot yang rendah dan gangguan kawalan hormon.

Kekurangan berat badan turut menjejaskan pengambilan dan penyerapan nutrien yang diperlukan seperti asid amino, vitamin dan mineral. Keadaan ini boleh meningkatkan risiko osteoporosis dan anemia iaitu kekurangan sel darah merah.

Wanita yang kurang berat badan juga terdedah risiko untuk ketidakseimbangan haid atau amenorrhea dan masalah kesuburan wanita.

Justeru, dalam masalah ini, diet yang seimbang dan senaman penting untuk mengatasi masalah kekurangan berat badan.

“Menaikkan berat badan bermaksud anda perlu mengambil kalori yang lebih tinggi daripada kalori yang dibakar. Langkah pertama adalah menentukan sasaran berat badan yang realistik dan boleh dicapai dengan kenaikan pengambilan kalori.

“Tambahan sebanyak 500kcal hingga 1000kcal sehari diperlukan dan ini bergantung kepada keperluan dan keadaan seseorang. Makanan yang lebih tinggi dan padat dengan kalori daripada setiap kumpulan dalam Piramid Makanan Malaysia memang digalakkan.

“Walaupun individu yang kurang berat badan digalakkan untuk mengambil kalori yang lebih tinggi, pengambilan gula dan lemak yang kurang sihat harus dihadkan. Ini kerana pengambilan makanan terbabit yang berlebihan boleh meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat penyakit jantung, strok dan kanser.

“Diet yang seimbang dengan 50 peratus ke 60 peratus karbohidrat, 15 peratus ke 20 peratus protein dan kurang 30 peratus lemak diperlukan. Individu yang mempunyai masalah kurang berat badan digalakkan mendapatkan nasihat daripada pakar pemakanan dari segi keperluan kalori seharian dan menu yang seimbang mengikut keadaan dan keperluan individu.

“Ini kerana setiap individu mempunyai tahap kesihatan dan keperluan yang berbeza daripada individu lain. Cara kehidupan yang aktif dan senaman boleh menaikkan selera makan seseorang dan membantu untuk kenaikan berat badan dengan membina jisim otot,” katanya.

Berikut tip pemakanan untuk mereka yang menghadapi masalah kurang berat badan oleh pakar pemakanan:

1. Pengambilan makanan yang sedikit tetapi kerap boleh membantu mereka yang mempunyai masalah kurang selera makan dan cepat kenyang.

2. Pilih makanan yang tinggi dan padat dengan kalori dan nutrien tetapi bukan tinggi dengan lemak tepu dan gula, contohnya kekacang, sumber protein yang rendah lemak, roti atau pasta mil penuh, produk tenusu dan sebagainya.

3. Masukkan kalori tambahan dalam makanan yang biasa diambil seperti penambahan susu ketika penyediaan puding, kentang putar atau minuman seperti susu kocak, smoothies atau jus segar. Gunakan susu untuk mengantikan air yang digunakan untuk menyediakan sup atau oat.

4. Masukkan snek di antara waktu makan seperti yogurt, buah-buahan kering dan kekacang. Disarankan mengambil sekurang-kurangnya tiga makanan utama (sarapan, makan tengah hari, makan malam) dan dua hingga tiga snek sehari.

5. Suplemen nutrisi boleh dimasukkan dalam pemakanan harian sebagai penambahan kalori. Dapatkan nasihat daripada pakar pemakanan kerana pemantauan yang kerap diperlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Februari 2016 @ 5:10 AM