MOHD SHAKIR bersama Dr Zuraida yang memberi bimbingan kurang berat badan.
MOHD SHAKIR bersama Dr Zuraida yang memberi bimbingan kurang berat badan.
Zaitie Satibi


PERISTIWA kaki mengalami pendarahan teruk akibat komplikasi urat bersimpul (vena varikos) sehingga pengsan empat tahun lalu menjadi titik-tolak kepada penghidap morbid obesiti, Mohd Shakir Nayan, untuk mengubah gaya hidupnya supaya lebih sihat.

Mohd Shakir, 30, berdepan masalah morbid obesiti iaitu keadaan kesihatan serius dengan Jisim Indeks Tubuh (BMI) lebih 40 kilogram (kg)/meter persegi (m2) sejak kanak-kanak mengambil iktibar daripada insiden itu kerana bimbang masalah sama berulang dan meragut nyawanya.

Pendarahan akibat komplikasi vena varikos itu bukan pertama kali dihadapinya yang mempunyai berat melebihi 180kg kerana pernah terjadi pada usianya 16 tahun.

“Saya tidak mengambil iktibar daripada kejadian pertama dan menganggap obesiti bukan perlu dirunsingkan, malah masih meneruskan gaya hidup tidak sihat dengan tabiat makan dalam kuantiti banyak.

“Tanpa disedari, sedikit demi sedikit berat badan bertambah sehingga pernah mencecah 200kg,” katanya yang bekerja sebagai pentadbir keselamatan swasta di Kuantan, Pahang.

Anak keenam daripada tujuh beradik ini dibawa syarikat farmaseutikal, Novo Nordisk, ke ibu negara, baru-baru ini, menyertai perbincangan meja bulat bersama media sempena inisiatif Mengubah Obesiti bagi membantu meningkatkan kesedaran terhadap obesiti.

Obesiti kini diklasifikasikan sebagai penyakit kronik dan penyakit yang semakin meningkat menimbulkan isu kesihatan awam bukan saja membawa kesan besar ke atas individu, malah terhadap ekonomi sistem penjagaan kesihatan.

DR Sue Pedersen
DR Sue Pedersen

Dalam komitmen jangka panjang Novo Nordisk untuk menambah baik kehidupan individu obes, syarikat berkenaan memperkenalkan terapi Saxenda yang mempunyai mekanisme tindakan unik menyerupai hormon dihasilkan badan manusia secara semula jadi untuk mengawal selera yang dikenali sebagai peptida seperti glukagon (GLP-1).

Terapi itu antara tiga keutamaan ditekankan bagi memastikan individu obes mendapat penjagaan komprehensif dan berasaskan sains, selain inisiatif mencegah obesiti dan mengiktiraf obesiti sebagai penyakit.

Mohd Shakir kemudian dirawat di hospital selama tiga hari dan dirujuk kepada pakar ortopedik, namun keadaannya semakin buruk apabila dalam tempoh dua bulan kakinya mengalami ulser yang besar.

“Masalah obesiti bermula ketika usia saya lapan tahun lagi dengan berat badan 26kg. Adik-beradik lain juga mengalami masalah berat badan berlebihan tetapi tidak seperti saya.

“Saya tidak terfikir berat badan bakal mempengaruhi kehidupan saya pada masa hadapan dan kejadian pengsan serta urat kaki bocor itu menyedarkan saya untuk berubah dan menemui doktor bagi mendapatkan nasihat mengurangkan berat badan,” katanya.

Pemuda itu kemudian dirujuk kepada Dr Zuraidah Fadzlilah, merangkap Timbalan Pengerusi dan Pengasas Bersama Kelab Ideal Unggul Beserah (KUIB) iaitu kelab yang dianggotai mereka yang mengalami masalah berat badan.

Mohd Shakir juga dirujuk kepada pakar pemakanan yang menasihatkannya makan secara sihat selain pakar psikologi dan fisioterapi.

Hasilnya, dia berjaya menurunkan berat badan sehingga 173kg tetapi tidak dinafikan agak sukar untuk mengekalkannya.

Sementara itu, Pakar Perunding Endokrinologi Klinik Diabetes dan Endokrinologi C-ENDO (Kanada), Dr Sue Pedersen berkata, bagi kebanyakan individu obes usaha mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat sedia ada satu cabaran besar.

Ia berikutan banyak faktor termasuk genetik mempengaruhi kecenderungan untuk menambah berat badan dalam konteks persekitaran yang menggalakkan obesiti.

“Ramai menganggap obesiti disebabkan pilihan gaya hidup, tetapi punca di sebalik obesiti adalah lebih rumit daripada itu.

“Hasil penyelidikan menunjukkan obesiti adalah penyakit yang rumit dan berbilang faktor yang dipengaruhi sama ada genetik, fisiologi, persekitaran atau psikologi.

“Dalam kes obesiti yang lebih serius, kita mungkin perlu mempertimbangkan rawatan invasif seperti pembedahan bariatrik.

“Namun, pengambilan terapi penjagaan kesihatan memberi pilihan alternatif untuk membantu pesakit mengurangkan berat badan dan penyakit yang berkaitan di peringkat awal,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2019 @ 5:01 AM