Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

Jika lelaki kesayangan anda kerap ke tandas terutama pada waktu malam, mengalami kesukaran untuk kencing dan sukar menahan kecing, ia tidak seharusnya dibiarkan begitu saja.

Ini kerana, dua simptom berkenaan antara gejala pembesaran prostat. Lebih serius lagi daripada pembesaran adalah kanser prostat iaitu sejenis barah yang biasa dihidapi golo­ngan lelaki di seluruh dunia dan tidak terkecuali di negara ini.

Prostat ialah kelenjar sebesar buah berangan yang menjadi milik mutlak kaum lelaki dan terletak di bawah pundi ­kencing, ­berhadapan ­dengan rek­tum. Saluran kencing (uretra) menyalurkan air kencing melalui prostat dan peranan seksual kaum lelaki juga berkait rapat dengan kelenjar ini. Prostat mengeluarkan sebahagian daripada cecair yang terdapat pada air mani. Pancutan air kencing atau air mani bergantung kepada kesihatan prostat.

Biarpun dianggap kurang bahaya jika dibandingkan dengan barah utama lain, jika dibiarkan kanser prostat tetap boleh membawa maut. Mengikut rekod, ia penyakit barah kedua sering dihidapi lelaki di seluruh dunia dan keempat untuk penyakit keseluruhan.

Mengikut statistik, pada 2012 dianggarkan lebih 1.1 juta lelaki didiagnos menghidap penyakit berkenaan. Di Malaysia pula, kanser prostat berada di tangga keempat senarai penyakit kanser yang biasa dihidapi golongan lelaki dengan 502 kes dilaporkan pada 2007. Kanser yang terjadi dalam prostat ini menyerang kelenjar dalam sistem reproduktif lelaki.

Kebanyakan kanser prostat lambat berkembang, tetapi ada kes kanser prostat yang agresif. Sel kanser itu mungkin boleh merebak daripada prostat ke bahagian lain tubuh terutama tulang dan nodus limfa. Kanser prostat mungkin pada mulanya tidak menyebabkan sebarang gejala, namun pada peringkat lain menyebabkan kesakitan dan kesukaran membuang air kecil.

Selain itu, mangsa turut berhadapan masalah ketika melakukan hubungan seks, mati pucuk dan kematian.

Kadar pengesanan kanser prostat mungkin ­berbeza secara meluas di seluruh dunia dengan Asia Selatan dan Timur mengesan kekerapan kurang berbanding di Eropah, terutama Amerika Syarikat (AS). Kanser ini biasanya menyerang golongan lelaki berusia lebih 50 tahun.

Tahap kanser prostat

Menurut Perunding Pembedahan Urologi Hospital Gleneagles Dr Loh Chit Sin, terdapat empat jenis kanser prostat yang sering dihidapi lelaki terutama golongan berusia 50 tahun ke atas. Jenis berkenaan adalah tahap pertama, kedua, ketiga dan keempat.

Dr Loh berkata, untuk jenis tahap pertama, sel kanser berkenaan masih lagi berada setempat dan tidak merebak ke bahagian badan lain. Ia biasanya jarang menunjukkan sebarang tanda atau simptom menyebabkan ramai penghidap tidak menyedarinya.

Tahap kedua pula merujuk kepada keadaan kanser prostat masih berada dalam kelenjar prostat, tetapi kebengkakan boleh dirasai apabila pemeriksaan rektal dijalankan.

"Pada tahap ini, rawatan pembedahan dengan terapi multi modaliti dan terapi radiasi perlu dijalankan dengan segera. Rawatan berkenaan perlu bagi memastikan sel kanser tidak merebak dan menjadi semakin teruk.

"Ini kerana tahap satu dan dua masih boleh dirawat, tetapi ia bergantung kepada corak perkemba­ngan sel kanser itu sendiri," katanya.

Kata Dr Loh, untuk tahap ketiga iaitu kanser prostat metastatik, sel kanser biasanya sudah merebak ke tulang. Pada tahap ini, pesakit akan melalui rawatan untuk mengurangkan kesakitan akibat simptom selain memperbaharui kualiti kehidupan untuk memastikan jangka masa lebih dipanjangkan.

Untuk tahap terakhir, kanser sudah merebak ke bahagian pelvis (tulang pinggul) serta merebak ke nod limfa dan bahagian badan yang lain seperti ­tulang, hati atau paru-paru.

"Pada tahap ini, ­keba­nyakan sel kanser biasanya sudah kalis terhadap sebarang ubat atau rawatan menyebabkan ia semakin sukar untuk diubati.

Ia turut menyebabkan paras hormon testosteron pesakit berkurangan dan boleh meragut nyawa," katanya.

Menurut Dr Loh, dianggarkan antara pesakit yang didiagnos, 15.8 peratus daripadanya lelaki berbangsa Cina, 14.8 peratus lelaki India dan 7.7 peratus lelaki Melayu menghidap penyakit berkenaan.

Statistik yang diperoleh turut menunjukkan kira-kira 3,000 lelaki di negara ini disahkan menghidap penyakit berkenaan dalam tempoh setahun.

Kata beliau, terdapat beberapa faktor yang dapat meningkat­kan lagi risiko kanser prostat antaranya usia, sejarah keluarga dan obesiti.

Risiko semakin meningkat seiring dengan pertambahan usia terutama selepas usia 50 tahun.

"Jika ahli keluarga ada sejarah kesihatan ­membabitkan sebarang penyakit kanser, anda sebenarnya turut memiliki risiko.

"Selain itu, penyakit berkenaan juga lebih sukar dirawat sekiranya penghidap turut mengalami masalah obesiti," katanya.

Menurutnya, kanser prostat sebenarnya boleh dikesan awal jika melakukan pemeriksaan sepenuhnya. Kanser prostat boleh dikesan dengan melakukan ujian darah Antigen Khusus Prostat (PSA).

Lelaki normal mempunyai tahap PSA yang rendah berbanding pesakit kanser prostat.

"Selepas melakukan ujian PSA, jika bacaan PSA kurang daripada empat, ia bukannya petanda sihat sepenuhnya, tetapi tetap perlu berwaspada . Kalau bacaan PSA kurang daripada satu, risiko kanser prostat menjadi rendah sekali dan pemeriksaan PSA berikut boleh ditangguhkan selama tiga tahun.

"Sebaliknya, jika bacaan melebihi 4ng/mililiter (ml), anda perlu mendapatkan perundingan dengan pakar urologi dengan ­segera. ­Selain itu, apabila doktor mengesan sesuatu yang tidak normal pada prostat, pesakit biasanya disaran melakukan pemeriksaan susulan menggunakan kaedah TRUS (Transprostat Ultrasound Scan) atau biopsi prostat," katanya.

Mengenai rawatan bersesuaian untuk pesakit kanser prostat, Dr Loh berkata, pesakit mempunyai pelbagai pilihan bergantung kepada tahap dialami.

Antara rawatan yang boleh didapati ialah terapi radiasi, terapi hormon, pembedahan, pembedahan robotik, kemoterapi, imunoterapi dan terapi 'androgen sistesis inhibition'.

"Rawatan kemoterapi bagaimanapun hanya disarankan apabila seseorang pesakit itu tidak dapat melakukan kaedah rawatan lain berdasarkan beberapa faktor," katanya.

Menyedari hakikat itu, Dr Loh menasihatkan semua lelaki terutama golongan berisiko (berusia 50 tahun ke atas) supaya jangan malu dan segera melakukan pemeriksaan.

Pemeriksaan awal katanya, bukan saja boleh menyelamatkan nyawa, tetapi pada masa sama, membantu seseorang itu untuk menikmati hidup dengan lebih sempurna.

"Jangan takut atau malu untuk bertemu doktor ­kerana siapa tahu, anda mungkin turut berisiko menghidap penyakit ini. Bagi wanita pula, buat sesuatu untuk memastikan lelaki kesayangan anda bertemu doktor. Ini kerana kebarangkalian untuk sembuh lebih tinggi jika ia dapat dikesan lebih awal," katanya.

Ujian darah PSA

> Antigen khusus prostat atau PSA ialah protein yang dihasilkan sel dalam kelenjar prostat. Ujian me­ngukur paras PSA dalam darah seorang lelaki dengan mengambil sampel darah untuk analisis. Keputusan dilaporkan dalam nanogram PSA per mililiter darah (ng/ml).

> Paras darah PSA sering meningkat dalam kalangan lelaki yang menghidap kanser prostat. Ujian PSA pada asalnya diluluskan Agensi Makanan dan Ubatan Amerika Syarikat (FDA) pada 1986 bagi memantau perkembangan kanser prostat.

> Pada 1994, FDA meluluskan ujian PSA bersama pemeriksaan digital rektum (DRE) untuk menguji lelaki yang mempunyai tanda menghidap kanser prostat.

> Selain kanser prostat, beberapa keadaan benigna (bukan kanser) boleh ­menyebabkan paras PSA meningkat. Keadaan benigna prostat paling kerap berlaku menyebabkan peningkatan paras PSA ialah prostatitis (keradangan prostat) dan hiperplasia benigna prostatik ­(pembesaran prostat). Tiada bukti bahawa prostatitis atau BPH menjurus kepada kanser prostat, namun tidak mustahil seseorang lelaki memiliki satu atau kedua-dua keadaan itu dan turut menghidap kanser prostat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:00 AM