Uyaina Arshad
Uyaina Arshad
Zaara Talita


Kuala Lumpur : Pengacara program Wanita Hari Ini (WHI), Uyaina Arshad berdepan detik cemas apabila hampir pengsan ketika mengacarakan program itu secara langsung, baru-baru ini.

Uyaina berkata, dia mengalami sakit kepala agak teruk dan kesakitan yang dialami itu membuatkan dia tidak dapat berdiri tegak.

"Ia terjadi ketika saya sedang bersiaran langsung untuk WHI, tapi setengah jalan saja kerana saya tak larat nak mengacara. Sakit kepala yang sangat dahsyat. Muka berkerut tahan sakit.

"Nak berdiri tegak tak boleh. Nak buka mata juga tak boleh sebab sakit kepala sangat-sangat. Pertama kali jadi ketika 'live' macam ni. Saya rasa kalau saya teruskan juga, boleh terus pitam.

"Saya rasa sebab cuaca panas sangat-sangat. Mula-mula tu saya okay saja tapi, masuk blok ketiga saya dah tak boleh tahan sakit kepala ni," katanya.

Menurut Uyaina, selepas menjalani pemeriksaan doktor mengesahkan dia diserang 'migraine aura' biarpun mengalami beberapa simptom seperti keletihan haba atau strok haba.

Migrain aura adalah sakit kepala sebelah berulang yang diikuti dengan gangguan sensorik, motorik atau verbal.

"Sakit hanya pada bahagian kiri kepala pula tu. Sama ada keletihan haba atau strok haba sebab saya ada kedua-dua simptom itu. Sakit kepala kadang kala pening sampai tahap nampak semua benda jadi dua.

"Menurut doktor lagi, antara benda yang menyumbang kepada masalah ini kerana berjaga malam sebab anak kecil, tak cukup rehat dan tidur, kopi serta haba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 12:29 PM