PEMANTAUAN tekanan darah tinggi boleh dilakukan sendiri di rumah.
PEMANTAUAN tekanan darah tinggi boleh dilakukan sendiri di rumah.
Zaitie Satibi

Hipertensi atau tekanan darah tinggi dikenali sebagai pembunuh senyap kerana lazimnya tidak menunjukkan gejala yang jelas. Satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada anda menghidap tekanan darah tinggi adalah dengan mengukur tekanan darah. Pengukuran tekanan darah tepat adalah penting untuk diagnosis yang betul.

Oleh itu, garis panduan menekankan penggunaan teknik yang tepat untuk mengukur tekanan darah, sama ada dilakukan kakitangan penjagaan kesihatan di klinik atau penghidap sendiri dengan menggunakan alat pemantau tekanan darah di rumah. Tahap tekanan darah harus berdasarkan purata dua hingga tiga pembacaan pada sekurang-kurangnya dua sesi ukuran.

Sedikit kesilapan biasa boleh menjejaskan bacaan tekanan darah. Ini termasuk mempunyai pundi kencing yang penuh (tahan kencing), duduk tidak dalam posisi yang betul atau bercakap ketika bacaan tekanan darah diambil.

Tekanan darah tinggi berlaku apabila daya yang menolak darah ke arah dinding saluran darah terlalu tinggi. Tekanan tambahan menyebabkan jantung terpaksa bekerja keras sambil menjejaskan fungsi saluran darah. Lama kelamaan, tekanan berkenaan merosakkan tisu dalam saluran darah yang akhirnya menggugat sistem jantung dan peredaran.

Kerosakan pada pembuluh darah bermula tidak lama selepas tekanan darah naik. Pemeriksaan awal dapat bantu mencegah masalah, memperlahankan kerosakan yang sudah bermula dan mengurangkan risiko penyakit jantung dan strok. Perubahan gaya hidup perlu diletakkan sebagai matlamat utama untuk menangani wabak tekanan darah tinggi.

Bagi meningkatkan kesedaran awam berkenaan penyakit boleh membunuh ini, peneraju global dalam teknologi automasi dan produk penjagaan kesihatan di rumah, Omron, melancarkan kempen baru ‘HealthinUrHands’ untuk memberi kesedaran pentingnya mencegah dan menguruskan hipertensi melalui pemantauan tekanan darah di rumah secara konsisten dan berkala.

Presiden Persatuan Hipertensi Malaysia (MSH), Profesor Datin Dr Chia Yook Chin berkata, hipertensi adalah topik yang sering dibincangkan dengan meluas disebabkan peningkatan jumlah penyakit terbabit dalam kalangan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak tahu berkenaan maksud dan kesan buruk penyakit ini apabila hipertensi menduduki tempat kedua sebagai penyakit yang paling berisiko mengakibatkan kematian di negara ini. Lebih buruk apabila dua pertiga daripada kes terbabit masih belum didiagnosis.

“Penyakit ini digelar pembunuh senyap kerana kekurangan simptom, jika dibiarkan tanpa kawalan ia boleh membawa kepada banyak penyakit kardiovaskular seperti strok dan kegagalan jantung, malah banyak kes mengakibatkan kematian.

“Setiap tahun, kira-kira 40,000 rakyat Malaysia mengalami strok termasuk warga tua, orang dewasa dan kanak-kanak yang menghadapi risiko yang sama. Oleh itu, adalah penting untuk selalu mengetahui punca, simptom dan cara yang betul untuk menguruskan hipertensi,” katanya pada sesi meja bulat bersama media sempena pelancaran kempen berkenaan di ibu negara, baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Pembangunan Perniagaan Omron Healthcare Singapura, Jason Seah dan Pengurus Kanan Pengurusan Pemasaran Kesihatan Konsumer DKSH Malaysia, Pang Koon Yin.

Dr Chia berkata, pemantauan tekanan darah secara berkala di rumah sangat disarankan sebagai langkah pertama dalam mengesan pembacaan tekanan darah yang tidak teratur.

Adalah penting bagi semua orang memahami bahawa bacaan tekanan darah mereka berbeza-beza dan berubah-ubah dalam tempoh tertentu pada waktu yang berlainan pada hari yang sama. Oleh itu, adalah penting untuk sentiasa memantau tekanan darah di rumah menggunakan alat pemantau tekanan darah yang jitu.

“Gaya hidup tidak aktif dan diet yang tidak teratur adalah dua punca utama hipertensi. Faktor lain termasuk isu keturunan, pengambilan natrium (garam) yang berlebihan, tekanan, ketagihan arak dan obesiti.

“Bagi mengurus penyakit hipertensi, adalah disyorkan untuk memeriksa tekanan darah anda dengan lebih kerap. Ini untuk mengetahui sekiranya ada sebarang lonjakan dalam bacaan dan sebagai rekod untuk memantau hipertensi anda secara konsisten.

“Bacaan yang diperoleh itu dapat membantu anda supaya berjaga-jaga dengan status kesihatan terkini. Di samping itu, mengetahui teknik dan pengetahuan yang betul berkenaan pembacaan tekanan darah juga akan membantu mencegah krisis hipertensi,” katanya.

HIPERTENSI boleh mengakibatkan kerosakan dalam diam terhadap organ dalaman badan selama bertahun-tahun.
HIPERTENSI boleh mengakibatkan kerosakan dalam diam terhadap organ dalaman badan selama bertahun-tahun.

Pakar Kardiologi Hospital Gleneagles Kuala Lumpur, Dr Azani Mohamed Daud pula berkata, pemantauan tekanan darah secara berkala di rumah adalah langkah mudah ke arah mempertingkatkan kesihatan bagi penghidap dan individu sihat kerana banyak kes hipertensi sering tidak didiagnosis.

“Ia boleh dilakukan dengan mudah dengan alat pemantauan tekanan darah. Mengawasi tekanan darah di rumah juga membantu keberkesanan ubat antihipertensi yang diambil penghidap, seterusnya membolehkan mereka dan doktor membuat keputusan berkaitan rawatan bagi mengenal pasti jenis rawatan yang lebih baik.

“Pengawalan tekanan darah di rumah juga dapat membantu dalam pengurusan dan mendiagnosis hipertensi. Ini seterusnya dapat membantu daripada segi kepatuhan kepada rawatan dan juga membolehkan pesakit mendapatkan rawatan bersama ahli keluarga mereka yang boleh memainkan peranan yang lebih aktif dalam mengurus serta mencegah penyakit ini.

“Ini kerana, alat pemantau tekanan darah boleh dikongsi bersama ahli keluarga lain. Kita perlu sedar bahawa penyakit ini boleh berlaku kepada sesiapa saja tanpa sebarang simptom, jadi dengan adanya alat ini di rumah, seluruh anggota keluarga mempunyai kesedaran untuk memeriksa tekanan darah mereka sekurang-kurangnya setahun sekali seperti yang disyorkan pakar perubatan,” katanya.

Berkenaan kempen ‘HealthinUrHands’, ia selaras dengan usaha Kementerian Kesihatan mahu memenuhi sasaran negara bagi pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit (NCD) pada 2025, selain bertujuan menyokong usaha mengurangkan kelaziman tekanan darah tinggi hingga kurang daripada 24 peratus di seluruh negara.

Sebagai sebahagian daripada kempen ‘HealthinUrHands’, Omron mendekati penghidap dan komuniti melalui pameran bergerak bermula di Lembah Klang bagi terus mendidik orang ramai kepentingan pemantauan secara berkala.

Omron juga berhasrat menyediakan pemeriksaan tekanan darah dan demonstrasi percuma, bahan pendidikan serta promosi pelbagai produk tertentu untuk menggalakkan orang ramai mengamalkan langkah yang baik ini.

Inisiatif bawah kempen ini akan dikekalkan dalam beberapa bulan akan datang sehingga Hari Jantung Sedunia pada September, manakala Hari Strok Sedunia pada Oktober depan.

 DR Chia (kanan) dan Dr Azani membincangkan hipertensi dalam sesi meja bulat bersama media.
DR Chia (kanan) dan Dr Azani membincangkan hipertensi dalam sesi meja bulat bersama media.

Pemantauan sendiri di rumah

• Pengawasan minimum selama tiga hari, dan secara idealnya selama tujuh hari.

• Mesti dilakukan pada waktu yang sama, sekali ketika pagi dan sekali lagi sebelah petang.

• Pagi (sebelum pengambilan ubat jika dalam rawatan) dan petang (sebelum makan). Bacaan perlu diambil dua kali setiap sesi (berselang satu hingga dua minit).

• Bacaan keputusan mesti segera direkod di dalam buku log khusus atau disimpan dalam memori peranti.

Cegah dan merawat tanpa ubat

• Kurangkan berat badan. Setiap kilogram berat yang hilang akan mengurangkan tekanan darah sistolik sebanyak satu milimeter mm Hg

• Makanan seimbang. Ambil makanan yang kaya dengan buah-buahan, sayur-sayuran, bijirin penuh dan produk tenusu rendah lemak, kurangkan lemak tepu dan garam. Lebihkan makanan berpotasium seperti pisang, kentang, avokado dan sayuran hijau.

• Buat banyak gerakan fizikal. Bersenam 90 hingga 150 minit seminggu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Julai 2018 @ 12:04 AM